Anwar: AS harus bersikap adil dalam konflik di Gaza
Prinsip keadilan dan hak asasi manusia adalah penting untuk ditegakkan termasuk dalam isu perdagangan global dan pertumbuhan ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Oleh itu, katanya Amerika Syarikat harus bersikap adil dan tidak harus bersikap berkecuali apabila berbincang mengenai konflik di Gaza.
“Saya menegaskan keperluan untuk semua negara mendesak genjatan senjata di Gaza supaya tiada lagi orang awam yang terkorban terutamanya bayi.
“Hentikan kekejaman, hentikan ia sekarang,” tegasnya pada sesi permukiman Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec di San Francisco pada Jumaat, yang dipengerusikan oleh Presiden Amerika Joseph Biden, dengan dihadiri oleh semua wakil daripada 20 Ekonomi Apec yang lain.
Semasa permukiman itu Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan bahawa Malaysia yang merupakan sebuah negara dagang perlu mempunyai hubungan perdagangan yang baik dengan kuasa besar termasuk Amerika Syarikat dan China.
“Oleh itu, saya menyambut baik perjumpaan dua hala yang telah diadakan di antara kedua-dua presiden Amerika Syarikat dan China,” katanya.
Pertemuan Biden dengan Presiden China Xi Jinping di luar mesyuarat Apec di sana baru-baru ini jelas mendapat liputan dunia, dan ini merupakan kali kedua dalam tempoh setahun pemimpin dua kuasa ekonomi global itu mengadakan pertemuan empat mata.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai