Pemuda Amanah dan 'menembak kaki sendiri'
WAWANCARA | Amanah bakal mengadakan konvensyen tahunannya pada bulan depan ketika parti politik itu memasuki tahun yang kelapan. Amanah yang ditubuhkan pada 2015 itu juga akan mengadakan pemilihan badan tertinggi parti, termasuk membabitkan sayap-sayapnya.
Pemuda Amanah khususnya akan memilih generasi ketiga kepimpinan sebagai penerus kepada legasi yang diharap akan terus berkembang ke depan.
Terdapat sekurang-kurangnya tiga nama yang menawarkan diri untuk menggalas tanggungjawab ketua pemuda iaitu Mohd Hasbie Muda selaku penyandang; Adun Batu Tiga merangkap Ketua Pemuda Amanah Selangor, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid; dan ahli jawatankuasa Pemuda Amanah Nasional, Azhar Rahman.
Malaysiakini menemubual ketiga-tiga calon tersebut dengan mengemukakan soalan-soalan sama untuk membolehkan orang ramai menilai gagasan dan corak kepemimpinan yang dijanjikan mereka.
SOALAN: Apakah visi dan matlamat yang akan dibawa jika dipilih menerajui Pemuda Amanah Nasional?
Hasbie: Ketika saya dipilih sebagai ketua pada Okt 2021, saya menetapkan membina pasukan yang kukuh bagi menghadapi pilihan raya dan menjuarai isu-isu anak muda sebagai visi.
Kesinambungan dari itu, saya mahu memberikan tumpuan kepada latihan dan pengkaderan, selain memperkasakan biro-biro pemuda untuk memberi tumpuan kepada isu-isu rakyat khususnya golongan anak muda.
Matlamatnya adalah untuk mempamerkan pasukan yang lebih kuat, kukuh serta kewujudannya dirasai.
Danial: Visi saya adalah menggalakkan penyertaan pemuda dalam proses membuat keputusan dengan menjadikan suara mereka akan didengar melalui dialog bersama pimpinan, perkembangan idea, penglibatan dalam perbincangan dan perlaksanaan.
Justeru, penting untuk kita fikirkan bagaimana memposisikan bakat pemuda yang berkelayakan dalam pentadbiran kerajaan.
Matlamat saya adalah untuk mewujudkan platform inovatif dan inklusif bagi anak muda dengan menitikberatkan pembangunan modal insan kerana kita masih kekurangan sosok hebat dalam bidang-bidang tertentu seperti teknokrat, sains dan teknologi serta ekonomi.
Azhar: Saya ingin membawa pemuda ke satu tahap yang lebih baik dengan membina pelapis berkualiti untuk diketengahkan di mana-mana peringkat kepimpinan.
Saya yakin Pemuda Amanah mampu menjadi penghubung di antara kerajaan dan rakyat, justeru, saya akan membina hubungan bersama kumpulan-kumpulan anak muda bagi menarik minat mereka serta memberi dukungan kepada PH.
Apakah watak dan gaya kepimpinan yang akan anda tonjolkan?
Hasbie: Saya akan lebih agresif kerana dalam tempoh dua tahun ini saya hanya menyambung peranan yang diamanahkan pimpinan terdahulu. Sebab itu bagi saya, seseorang itu perlu diberi ruang dan tempoh yang secukupnya baru akan mendapat hasil yang positif.
Danial: Sebagai ketua, saya akan menonjolkan kepimpinan berdasarkan kerjasama, ketelusan dan keberkesanan dalam menyuarakan aspirasi pemuda.
Azhar: Saya akan memaksimumkan bakat kepimpinan dalam pemuda dan bergerak sebagai satu pasukan dan saya menyasarkan golongan belia, pengundi muda dan baru untuk kita yakinkan bahawa Amanah memiliki barisan pemimpin yang berkualiti.
Hype dalam pemuda Amanah sudah mati, apa yang terjadi dan apa yang harus dibuat?
Hasbie: Jika nak wujudkan hype, kena ada kerjasama berpasukan yang mantap dan ia mesti bermula dari kepimpinan pemuda nasional sendiri. Tetapi bila ada pemimpin yang 'menembak kaki sendiri', itu menunjukkan terdapat ahli yang gemar mencari kesalahan, tidak memberikan sumbangan tetapi memilih untuk mengkritik terutama pada waktu pemilihan.
Pemuda Amanah perlu dijenamakan semula serta melakukan proses rejuvenasi. Langkah itu sedang diusahakan, malah kami akan melancarkan platform pengkaderan baru untuk mempersiapkan kepimpinan yang akan datang.
Danial: Saya nekad mahu kembali membawa keghairahan itu dengan melaksanakan program yang menumpukan isu dan realiti sebenar dihadapi golongan pemuda, ia perlu relevan.
Pemuda Amanah perlu laksanakan pembaharuan dan sentiasa berfikir di luar kotak. Saya percaya kemampuan Pemuda Amanah jauh lebih besar sekiranya berani mencuba perkara-perkara baharu.
Jiwa muda itu perlu dikekalkan, kita tidak perlu ikut aliran 'orang lama'.
Azhar: Saya kira hal ini berkemungkinan disebabkan oleh kedudukan Amanah sebagai kerajaan yang lebih menumpukan kepada hal-hal pentadbiran, tugas dan jawatan dalam kerajaan.
Maka Pemuda Amanah perlu susun semula gerak kerjanya dan program-program yang boleh menarik minat orang muda untuk bersama Amanah.
Apakah terdapat kelemahan dalam kepimpinan pemuda?
Hasbie: Antara kelemahan yang ketara adalah dari segi komitmen di semua peringkat. Apabila kami menganjurkan program, sukar mendapatkan komitmen dan ia berlaku disebabkan hala tuju yang digariskan tidak sampai dan tidak dikongsi dengan baik.
Yang keduanya, sikap dan tanggungjawab. Apabila kita pegang satu jawatan, ia perlu dipikul bersama termasuk dari segi usaha dan kewangan. Yang ketiga, dari segi nilai pengorbanan, saya rasa ia perlu diperbaiki lagi.
Danial: Kelemahan yang ketara saya lihat ialah kurangnya penglibatan pemuda di peringkat kerajaan serta kekurangan program pembangunan kepimpinan. Kerana itu Pemuda Amanah perlu tunjukkan kemampuan sendiri dengan melahirkan bakat-bakat yang berkemampuan dalam segenap bidang.
Saya percaya nilai keadilan, integriti dan agama dalam Pemuda Amanah, serta gaya Islam sederhana yang dibawa akan memudahkan Amanah didekati segenap lapisan masyarakat.
Melihat cabaran semasa, kerajaan memerlukan Amanah membawa peranan dan penghayatan serta menjiwai Islam dalam konteks kepelbagaian kaum di Malaysia.
Azhar: Kelemahan dalam menentukan hala tuju memberi kesan kepada gerak kerja Pemuda Amanah. Ini mungkin disebabkan peralihan pucuk pimpinan yang kerap berlaku sepanjang tempoh ini dan memerlukan penyesuaian kepada gaya kepimpinan baru setiap kali ketua baru dilantik.
Selain itu, Pemuda Amanah juga agak lesu terutamanya di peringkat kawasan kerana mereka merasakan tidak diperlukan dalam mengisi ruang dalam kerajaan, di samping terpaksa bersaing dengan parti lain untuk mendapatkan tempat.
Kekurangan yang mungkin boleh diperbaiki adalah kesungguhan langkah intervensi bagi melawan naratif Melayu Islam yang dimainkan secara 'senget' pihak lawan.
Terdapat ramai pengundi muda dan baru terpengaruh dengan sentimen songsang yang dimainkan pihak lawan dan kesan ini dapat dilihat dalam pilihan raya yang lalu.
Apakah peranan yang Pemuda Amanah boleh mainkan untuk kekal revelan?
Hasbie: Pemuda Amanah boleh menjuarai isu anak muda yang sangat banyak seperti peluang pekerjaan dalam sektor awam, ekonomi, harga rumah dan sebagainya.
Kekuatan kami adalah Amanah ini sebuah parti baru dan kekal dengan rekod bersih.
Danial: Pemuda Amanah mampu berperanan sebagai perantara generasi, membawa suara anak muda ke arena politik dan mengemudi inisiatif untuk pembangunan ekonomi serta pendidikan.
Azhar: Pemuda Amanah perlu memainkan peranan aktif dalam melontarkan idea, pandangan dan melibatkan diri dalam perbincangan awam berkenaan polisi dan dasar kerajaan khususnya yang terkait dengan anak muda.
Pemuda juga perlu tampil untuk menyuarakan isu-isu yang dekat dengan rakyat dan membuka ruang untuk turut serta dalam menggubal dasar yang dibuat kerajaan.
Selain itu, peranan dalam kerja-kerja kesukarelawan di lapangan juga perlu dipergiat menerusi badan-badan kebajikan atau platform yang ada dalam parti.
Adakah Amanah dianggap masih ketinggalan berbanding parti lain?
Hasbie: Sebenarnya pencapaian Amanah hari ini agak cemerlang dan sebagai parti baru, ia sudah cukup memberangsangkan.
Danial: Amanah tidak ketinggalan bahkan telah banyak yang dicapai, cuma ia perlu terus inovatif dan responsif terhadap sesuatu perubahan.
Saya rasa, kelemahan dalam pengkaderan mungkin menjadi salah satu punca wujudnya persepsi bahawa pemuda Amanah masih ketinggalan.
Azhar: Tidak semua perkara kita ketinggalan cuma Amanah masih belum dilihat sebagai pemain utama dalam kerajaan hari ini. Pun begitu tetap ada perkara yang boleh dibanggakan, misalnya semasa Allahyarham Salahuddin Ayub menjadi menteri yang mengilhamkan pelbagai inisiatif Rahmah sehingga kesannya benar-benar dirasai rakyat.
Pun begitu Amanah belum menguasai mana-mana negeri dalam tempoh yang lama untuk dijadikan testimoni atau showcase model pentadbiran di bawah Amanah kepada rakyat,.
Justeru perlu ada perancangan strategik untuk menyasarkan penguasaan dan kerusi yang dimenangi.
Sebagai parti politik, apakah strategi yang boleh diambil bagi menarik golongan muda?
Hasbie: Sebagai kerajaan, Pemuda Amanah mesti memperjuangkan polisi-polisi yang bermanfaat kepada rakyat. Cabarannya ialah kebanyakan polisi ini tidak popular, justeru, Pemuda Amanah harus mengambil sikap yang berani dan bertanggungjawab.
Contoh sistem percukaian yang paling cekap adalah GST tetapi oleh kerana ia tidak popular, ramai yang tak memperjuangkan secara jelas. Bagi saya Amanah harus melihat semula dasar-dasar yang tak popular tapi bagus untuk negara.
Bagi orang muda pula, saya lihat pemerkasaan TVET, isu bagaimana hendak menyediakan latihan yang selari dengan permintaan industri yang bernilai tinggi, selain soal kenaikan gaji. Ini semua menjadi salah satu matlamat dalam agenda ekonomi madani.
Danial: Strategi yang difikirkan termasuklah mengadakan sesi dialog anak muda, memanfaatkan platform digital untuk berkomunikasi, dan menggabungkan elemen kreatif dalam penyampaian mesej politik.
Dengan kesempatan sebagai Adun, saya akan berusaha membina jambatan dengan anak-anak muda seluruh negara.
Azhar: Ada beberapa perkara yang akan Pemuda Amanah boleh gerakkan bagi mencapai matlamat tersebut. Apa yang perlu diberi penekanan masa ini ialah mengenal pasti kekuatan yang kami ada, mengembangkan bakat yang boleh menyumbang kepada sasaran parti dan penyusunan gerak kerja yang perlu kita buat mengikut garis masa yang ditetapkan.
Pendekatan ini juga tidak terhad kepada platform parti semata-mata tetapi sokongan pihak lain yang boleh disinergikan untuk memastikan matlamat yang digariskan berjaya dicapai.
Terdapat beberapa kenyataan mengkritik kegagalan Pemuda Amanah membawa naratif parti pendukung politik Islam dan rahmah kepada golongan pengundi muda. Adakah anda bersetuju dan mengapa?
Hasbie: Saya akui ada kegagalan... pada PRU lalu kita kalah semua di kerusi di negeri tertentu, di peringkat negeri (DUN) pula hanya menang dua tetapi kemerosotan ini selari dengan PH secara umumnya kerana kedatangan gelombang hijau.
Tapi, Pemuda Amanah gagal bukan sebab tak buat apa-apa, ia (kelemahan) boleh diperbaiki pada masa akan datang, kita tak boleh terjerumus ke dalam blame game.
Apa tujuan kelemahan itu diuar-uarkan? Ia hanya memalukan parti dan merendahkan martabat pemuda.
Jika nak berkempen (untuk pemilihan) boleh tapi jangan memburukkan organisasi. Pemuda Amanah tak melarang pertandingan dan berlawanlah dalam ruang dibenarkan, jangan memburukkan peribadi kepimpinan dan memaksa meletak jawatan dan sebagainya. Itu tak jantan.
Danial: Saya tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut. Kita melihat perkembangan pemuda terus mekar tahun demi tahun. Yang membuat dakwaan itu, dia tidak memahami perjalanan parti melalui pelaksanaan di lapangan kerana tahun ini kami berjaya tembus kemenangan kerusi pemuda di Selangor.
Individu yang membuat kenyataan itu mungkin tiada pengalaman menjiwai lapangan, sebab itu kata-katanya terlalu awangan, justeru saya akan memperkuat naratif parti melalui pendekatan inklusif dan membina jalinan dengan golongan muda untuk memahami aspirasi mereka.
Azhar: Naratif Melayu Islam yang 'senget' yang dimainkan pihak lawan sememangnya menjadi salah satu penyumbang kepada penolakan terhadap PH dalam pilihan raya lalu dan ia telah menular kepada pengundi muda.
Jadi, isu pokok yang perlu ditangani adalah bagaimana untuk mengekang dan membuat penerangan dengan lebih agresif supaya pandangan kita boleh menjawab setiap dakwaan yang ditimbulkan.
Saya melihat usaha ini belum cukup kuat dan kerja-kerja penerangan ini perlu lebih giat dilakukan terutamanya di media sosial dan ini bukan menjadi tanggungjawab satu pihak atau individu sahaja, bahkan perlu dipikul oleh semua kerana penyebaran maklumat perlu menyeluruh hingga ke akar umbi.
Ada segelintir pimpinan yang bukan berjuang untuk parti tapi lebih untuk mendapatkan jawatan dan menaikkan diri sendiri, komen?
Hasbie: Keadaan sebegitu wujud dalam mana-mana parti pun. Ssaya tak nafikan ia juga ada dalam Amanah juga kerana kita bukan parti malaikat.
Yang penting ialah bagaimana parti menguruskan individu-individu seperti itu supaya mereka tidak menyalahgunakan peluang dan kesempatan yang ada.
Danial: Saya menolak tindakan yang tidak bermaruah dalam politik dan akan memastikan kepimpinan berasaskan nilai dan tekad untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.
Menjadi lumrah semua orang menginginkan jawatan, tapi saya fikir merit adalah penting untuk diperhatikan. Saya tidak ralat sekiranya seseorang itu memegang jawatan dan jika dia benar-benar dia mampu, ia bagus untuk perkembangan parti.
Azhar: Tidak semua begitu. Sebahagian besar dalam Amanah saya kira tak menjadikan jawatan sebagai pendorong mereka, kerana berdasarkan sejarah kita boleh tengok ramai pimpinan yang tak mendapat apa-apa jawatan.
Apa yang perlu ditekankan sekiranya diberi jawatan, pimpinan tersebut perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh, ada iltizam tinggi untuk buat perubahan ke arah yang lebih baik.
Kadang-kadang ada pimpinan yang memang agak digemari dalam parti, tetapi apabila diberikan jawatan untuk diterjemahkan apa yang diperjuangkan, dia gagal mencapai tahap yang diharapkan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai