Skip to main
Logo Malaysiakini

'Selama 37 tahun dalam DAP, saya elak politik keterlaluan'

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow menjelaskan dia mengelak daripada bermain politik yang keterlaluan sepanjang 37 tahun menjadi ahli DAP sebaliknya fokus untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik buat parti dan rakyat.

Chow yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata kepercayaan untuk memimpin kerajaan negeri buat penggal kedua adalah kemungkinan berlandaskan kepada 'track record’ sejak 1986.

"Tahun ini telah genap 37 tahun saya menjadi ahli parti dan memang diberi banyak peluang berkhidmat kepada rakyat dan parti sama ada sebagai Adun dan juga ahli Parlimen.

"Saya percaya inilah kekuatan yang ada pada saya, saya jujur, setia kepada perjuangan, suka tawarkan perkhidmatan terbaik, tidak suka bercakap banyak, tidak mahu main politik kuat dan fokus kepada penyampaian prestasi yg baik," katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2023, di George Town hari ini.

Konvensyen itu dirasmikan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan turut hadir Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng serta barisan kepimpinan negeri parti itu dan perwakilan DAP.

Chow berkata pihaknya telah berjaya mencapai sebanyak 94 peratus manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan fokus ketika ini adalah untuk melaksanakan manifesto PRU15 agar ia menjadi kesinambungan kepada kecemerlangan kerajaan negeri.

Katanya, pentadbiran kerajaan negeri masih kekal untuk menjayakan misi ‘Penang2030’ dan berharap pasukan baru selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan bersama-sama memainkan peranan bagi merealisasikan misi tersebut.

"Semua pihak termasuk ahli parti serta kepimpinan parti juga perlu memikul tanggungjawab demi memastikan kita kekal relevan sebagai parti pemerintah di Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Lim semasa berucap berkata DAP merupakan sebuah parti ‘muda’ dan akan kekal menjadi parti muda dari segi idea dan pemikirannya termasuk dalam kalangan ahli veteran parti itu.

Katanya, parti itu perlu terus ‘menjana semula’ dan memperbaharui pelan penggantian yang lebih baik untuk pemimpin masa depan mereka dan dalam masa sama pemimpin DAP terutama yang memiliki jawatan dalam kerajaan tidak ‘membelakangkan’ parti itu dalam membuat sebarang keputusan.

“Pilihan raya-pilihan raya sebelum ini (PRU15 dan PRN) telah menunjukkan rakyat lebih menyokong parti berbanding calon itu secara individu, jadi atas alasan ini semua pemimpin dan ahli DAP perlu berdisiplin dan sentiasa mematuhi arahan parti.

“Sebagai wakil rakyat juga, kita harus mendengar segala keluhan rakyat dan memastikan penjawat awam melaksanakan segala dasar yang digariskan untuk manfaat semua pihak,” katanya.

-Bernama