Skip to main
Logo Malaysiakini

Urus niaga jutaan ringgit dari penipuan permohonan kuota pekerja asing

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pada 7 April lalu, riuh-rendah dalam pelbagai bahasa dan dialek Asia Selatan di sebuah asrama pekerja di Nilai, Negeri Sembilan perlahan-lahan mereda apabila penghuninya, yang terdiri daripada pekerja asing yang tersadai tanpa pekerjaan, keluar menuju ke sebuah gudang di sebelah.

Mereka berjalan ke sana dengan penuh harapan. Namun, ada seorang lelaki yang tidak bersama-sama mereka.

Pada hari itu, perekrut tenaga kerja Nepal, Rinji Rai, 47, ditemui mati di tandas asrama tersebut.

Dia baru saja tiba di Kuala Lumpur tiga hari sebelumnya untuk menguruskan isu visa para pekerja yang direkrutnya yang belum selesai.

Pihak berkuasa Malaysia menolak ada perbuatan khianat dalam kematiannya namun balu Rinji, Indrasuwa Rai, 46, dan Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Asing Nepal merasakan ada perkara meragukan di sebalik kematian Rinji dan mahu ia disiasat sebagai kes bunuh.

"Ada kumpulan yang menjual kuota permintaan dan mereka bercakap tentang impian-impian indah kepada ahli perniagaan biasa macam Rinji Rai. Rinji menjadi mangsa kumpulan ini dan dia hilang nyawa," kata bekas setiausaha agung Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Asing Nepal, Sujit Kumar Shrestha.

Ejen pekerja asing Nepal, Rinji Rai ditemui mati secara misteri di sebuah asrama pekerja di Nilai.

Rai ada pengalaman 20 tahun dalam perniagaan. Agensinya yang berpangkalan di Kathmandu, Marvelous Employment Nepal Pvt Ltd bersama-sama Rose Overseas PVT merekrut dan menghantar 64 pekerja, yang akhirnya tidak diberi pekerjaan selepas tiba di Malaysia.

Indrasuwa, yang kini terpaksa membesarkan tiga anak mereka berseorangan, percaya suaminya dibunuh berdasarkan gambar dan video Rinji di tandas asrama, yang dihantar oleh seorang ejen pekerja asing Malaysia.menerusi Facebook Messenger.

"Ia jelas menunjukkan pembunuhan dan bukannya bunuh diri, kemungkinan oleh kumpulan jenayah," katanya sambil menambah badan Rinji diletakkan untuk menunjukkan dia seolah-olah bunuh diri.

Indrasuwa menghantar surat kepada perdana menteri Nepal untuk meminta bantuan.

Dalam surat itu, dia memaklumkan Rinji telah membayar NPR 3 juta (RM107,502) kepada seorang warga Malaysia bernama "Ms Yeoh" untuk mendapatkan visa buat pekerjanya, namun wanita itu didakwa melarikan wang tersebut.

Dua bulan sebelum kematiannya, Rinji dapat tahu pekerja yang dihantarnya tersadai tanpa pekerjaan dan Indrasuwa ada terdengar dia bertengkar berkenaan perkara itu dengan ejen Malaysia dan Nepal dalam perbualan telefon.

Adiknya, Deepak berkata Rinji juga menerima panggilan telefon bernada ancaman daripada ejen, yang berkata satu-satunya cara untuk menyelesaikan pertikaian yang timbul adalah dia perlu datang ke Malaysia.

"Jadi dia pergi ke Malaysia. Perbualan telefon sahaja sudah beri petunjuk berkenaan niat orang yang menelefonnya," kata Deepak.

Pekerja di asrama

Dengan kematian Rinji, harapan para pekerja Nepal dan Bangladesh - yang berkumpul di gudang di Nilai itu - untuk diselematkan hancur.

Tidak banyak jawapan yang boleh diberikan pegawai Jabatan Tenaga Kerja dan wakil pejabat konsular kedua-dua negara berhubung masalah mereka yang sudah berlanjutan beberapa bulan.

"Mereka minta kami sabar. Minggu depan semua selesai.

"Berbulan kami dengar jawapan sama daripada ejen di negara kami juga," kata seorang pekerja Nepal kepada Malaysiakini pada Jun lalu. Ketika itu, dia sudah tiga bulan tersadai di Malaysia.

Nama dan identiti semua pekerja dalam laporan ini tidak didedahkan bagi melindungi keselamatan pekerjaan mereka serta kemungkinan tindak balas daripada pihak yang terlibat dalam kegiatan penipuan kuota import pekerja asing.

Kematian dan penipuan kuota

Kes Rinji bukan satu-satunya kematian misteri yang berkaitan dengan isu ini.

Beberapa bulan sebelumnya, Kedutaan Nepal memberitahu Reuters seorang pekerja dari negara itu yang dibawa sindiket turut mati di tempat sama. Namun punca kematiannya tidak didedahkan.

Hakikat bahawa pekerja asing tersadai tanpa pekerjaan di Malaysia adalah petanda jelas ada yang tidak kena dalam proses pengambilan pekerja.

Untuk mendapatkan kuota, pemohon perlu membuktikan mereka ada perniagaan yang sah dan memang memerlukan jumlah pekerja yang diminta.

Namun, siasatan Malaysiakini mendapati ratusan pekerja yang direkrut di bawah kuota yang diperolehi dengan menggunakan dokumen palsu.

Lebih teruk, kuota ini juga diniagakan, membolehkan syarikat meraih keuntungan menerusi dua cara.

Mereka boleh menjual kuota kepada ejen atau syarikat lain, atau menjual atau menyewakan pekerja yang tiba melalui kegiatan pemerdagangan manusia ini. Perkara ini didedahkan pekerja yang diperdaya dan sumber dalaman yang terlibat dalam kegiatan ini.

Surat permintaan daripada Marvelous Employment Agency.

Tidak dapat dipastikan berapa banyak kes seumpama ini berlaku dan bilangan pekerja yang telah diperdaya.

Namun, dalam satu saja sindiket yang dikesan Malaysiakini, sebanyak enam syarikat mendapat kuota untuk mengambil 1,625 pekerja asing bagi sektor perkhidmatan pada 2022.

Menurut dokumen yang dilihat Malaysiakini, secara keseluruhan enam syarikat ini memohon lebih 4,000 pekerja namun hanya 1,625 pekerja diluluskan.

Selepas menerima makluman kelulusan kuota daripada bahagian pekerja asing di Jabatan Tenaga Kerja, syarikat membayar levi kepada Jabatan Imigresen sebelum surat kelulusan rasmi dikeluarkan.

Jabatan Imigresen menerima kira-kira RM3 juta menerusi levi yang dibayar syarikat-syarikat ini.

Impian jejak Genting Highlands

Dokumen-dokumen yang disemak Malaysiakini menunjukkan syarikat-syarikat ini mendapat kuota untuk mengambil pekerja asing bagi perkhidmatan pembersihan.

Di Nepal dan Bangladesh, ejen diberitahu yang hotel di Genting Highlands memerlukan pekerja pembersihan. Ramai yang tertarik untuk bekerja di pusat peranginan sehingga sanggup membayar jumlah yang besar kepada ejen dan broker untuk mendapatkan pekerjaan itu.

Salah seorangnya adalah Tilak (bukan nama sebenar) yang pernah bekerja di sebuah kilang pakaian di Malaysia. Dia memohon untuk kembali ke Malaysia selepas dapat tahu ada kerja di Genting Highlands.

"Sebab lama juga saya di Malaysia, jadi saya tahu kerja di Genting Highlands bagus. Kami datang ke Malaysia dengan harapan itu," katanya.

Genting Highlands

Surat permintaan mula dihantar ke Bangladesh dan Nepal pada Ogos 2022 dan pekerja mula tiba secara berperingkat mulai Januari 2023.

Pada masa sama, kakitangan di Malaysia yang menguruskan kemasukan pekerja ini turut bersiap untuk berpindah ke Genting.

Oleh kerana suhu di sana yang agak sejuk, ada yang telah pun membeli pakaian baru. Namun bos mereka kerap kali menangguhkan pemindahan mereka ke Genting.

Hari yang ditunggu-tunggu mereka tidak pernah tiba.

'Setem rasmi'

Bagaimana kuota untuk mengimport 1,625 pekerja diluluskan jika tiada pekerjaan untuk mereka? Jawapannya adalah satu penipuan mudah - mengambil kesempatan ke atas kelemahan kawal selia dalam proses permohonan.

Misalnya, pemeriksaan Malaysiakini mendapati syarikat Star Domain Resources mendapat kuota untuk mengimport 980 pekerja pada 2022 selepas menunjukkan ia telah mendapat beberapa kontrak perkhidmatan pembersihan bernilai jutaan ringgit.

Kontrak itu disertai dengan sijil setem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang sah yang dijadikan sebagai nota lindung, sementara LHDN juga mengesahkan duti telah dibayar.

Namun semakan mendapati kontrak itu sebenarnya tidak wujud.

Antaranya adalah kontrak tiga tahun bernilai RM2.85 juta dengan “Monash University Sunway Campus Malaysia Sdn Bhd”.

Ketika dihubungi, Monash memberitahu pihaknya tiada memeterai kontrak seumpama itu dengan Star Domain dan telah membuat laporan polis. Monash berkata ia menggunakan nama Monash University Malaysia Sdn Bhd sejak 2013.

LHDN berkata pengesahan maklumat dalam sijil setem pemohon tidak termasuk dalam tanggungjawab mereka, walaupun ia menjadikan kontrak nampak sah.

Ia meninggalkan jurang besar yang boleh dieksploitasi.

"Tanggungjawab untuk membuktikan kesahan maklumat dalam kontrak terletak pada pihak yang membayar duti," kata LHDN dalam jawapan bertulis kepada Malaysiakini.

Malah, tiada risiko perundangan terhadap tindakan menghantar dokumen palsu untuk mendapatkan setem LHDN.

Akta Setem 1949 hanya menangani penipuan berkaitan pembayaran duti dengan denda daripada RM1,000 hingga RM5,000.

Kontrak palsu dengan setem LHDN, dikatakan antara Star Domain dengan Universiti Monash.

Guna nama lama

Sindiket turut mendapatkan setem LHDN bagi 'kontrak' dengan syarikat yang direka, menggunakan nama lama syarikat-syarikat tertentu, alamat serta nombor pendaftaran palsu.

Sebuah syarikat bernama Zouk Spa tidak wujud di alamat yang dinyatakan dalam kontrak dan ketika dihubungi, pengarahnya Ow Kok Soon menafikan ada mengambil khimat Star Domain untuk kontrak pembersihan bernilai RM7.42 juta.

Dalam beberapa kes, tidak banyak pun usaha yang dibuat bagi menyelindung maklumat palsu, seperti dalam kontrak bernilai RM2.27 juta dengan OSK Trustees Bhd.

Nombor pendaftaran palsu “00000-X” disertakan, malah OSK Trustees Bhd sudah dibeli oleh RHB Trustees Bhd pada 2013.

Salah satu syarikat, Maju Transport & Express Sdn Bhd dikatakan memberi kontrak perkhidmatan pembersihan kepada Star Domain. Syarikat itu mengesahkan ada mengambil khidmat Star Domain sejak 15 Mei namun telah menamatkan kontrak itu.

Pengarahnya Siow Fei Chu namun enggan mengesahkan jika kontrak itu memang bernilai RM2.59 juta, seperti didakwa Star Domain dalam permohonan kuotanya.

Kuota untuk dijual

Penipuan kuota memang kegiatan yang membawa keuntungan lumayan, dan bukan dengan satu cara sahaja.

Menurut sumber dalaman industri, majikan di Malaysia yang mendapat kuota boleh menjualnya dengan harga setinggi RM10,000 sekepala kepada orang tengah yang kemudian menjualnya kepada ejen pengambilan pekerja.

Menurut mereka, apabila permohonan kuota dibuat, makluman mula dibuat di sepanjang rantaian ejen, memulakan rentetan langkah termasuk 'perang bidaan' dalam kalangan ejen untuk mendapatkan kuota itu walaupun permohonan belum diluluskan.

Difahamkan dalam kes yang disiasat Malaysiakini, orang tengah membayar wang pendahuluan kepada pemohon kuota untuk mendapat "surat permintaan" yang kemudiannya dijual kepada ejen pengambilan pekerja di negara asal pekerja, sebelum kuota diluluskan.

Ini bermakna bilangan "surat permintaan" yang dijual mungkin melebihi jumlah kuota pekerja yang diluluskan, menyebabkan ramai ejen berada dalam keadaan sukar apabila visa tidak dikeluarkan.

Sebagai contoh, berdasarkan dokumen yang dilihat Malaysiakini, Star Domain diberikan kuota 980 pekerja namun didakwa telah menjual "surat permintaan" untuk lebih 3,000 pekerja kepada ejen pengambilan pekerja di negara asal.

Untuk meyakinkan ejen bahawa permintaan memang wujud, sindiket membuat sesi temuduga dengan calon pekerja melalui Zoom, memesan seragam kerja untuk mereka, dan menggunakan sistem pengurusan pekerja khas, yang turut digunakan ejen untuk memuat naik maklumat yang berkaitan.

Namun sumber dalaman industri memberitahu Malaysiakini bukan ejen dan pekerja sahaja yang diperdaya.

Kakitangan sindiket warga tempatan yang mengendalikan sesi temuduga juga tidak tahu mereka terlibat dalam penipuan, dan yakin mereka bekerja di syarikat yang sah.

Kelulusan kerajaan untuk permohonan kuota pekera asing Star Domain.

Akhirnya pekerja yang tanggung kos

Ejen di negara asal biasanya membayar kepada orang tengah dan mereka mendapatkan semula wang daripada pekerja yang membayar yuran pengambilan - melalui broker - untuk bekerja di Malaysia.

Bagi menampung bayaran itu, pekerja membuat beberapa pinjaman dengan kadar faedah yang tinggi. Mereka merasakan dapat menebus semula dengan bergaji tinggi yang dijanjikan kepada mereka di Malaysia.

Namun sebenarnya tidak pernah ada pekerjaan untuk mereka.

Sumber dalaman memberitahu Malaysiakini, jika ejen setuju untuk membeli kuota daripada majikan pada harga RM10,000 setiap pekerja, mereka akan mengenakan kadar dua kali ganda kepada pekerja, selain tambahan RM3,000 untuk ejen di kampung halaman pekerja.

Bagaimanapun pemilik asal kuota tidak termasuk dalam lingkaran ekonomi yang dicetuskan mereka ini.

Mereka hanya terlibat sebanyak dua kali - pertama ketika menerima bayaran daripada orang tengah, biasanya menerusi wang tunai yang diisi dalam beg, dan kedua ketika pekerja tiba di Malaysia. Pekerja kemudian menjadi 'lubuk duit' yang disewa seperti barang kepada syarikat lain.

Tangkap layar video yang dihantar kepada Malaysiakini, menunjukkan pekerja berkongsi nasi dan kuah kari kosong selepas beberapa bulan tersadai tanpa pekerjaan.

Harga kuota juga boleh berubah mengikut negara asal. Difahamkan, ejen Bangladesh dapat memeras lebih banyak daripada pekerja dari negara itu.

Pekerja memberitahu Malaysiakini yang mereka perlu bayar secara tunai dan tidak diberi resit sebagai bukti pembayaran. Jika mereka bangkitkan persoalan, ejen akan mengugut untuk pulangkan wang dan tidak akan mengaturkan perjalanan mereka ke Malaysia.

Ramai pekerja yang terdesak terpaksa akur, ditambah lagi dengan janji mendapat gaji tinggi di Malaysia.

Perkhidmatan pembersihan mudah diperguna

Ada sebab mengapa perkhidmatan pembersihan menjadi pilihan bagi permohonan kuota pekerja asing palsu.

Penyumberluaran tenaga kerja diharamkan pada 2018. Agensi pembekal tenaga kerja tidak dibenarkan mengambil pekerja asing di bawah nama mereka dan mengerahkan pekerja untuk bekerja di tempat lain.

Sektor pembinaan dikecualikan daripada peraturan ini namun mereka dalam sektor lain yang didapati bersalah melakukan penyumberluaran berdepan hukuman penjara atau denda di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022 dan Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981.

Tangkap layar video yang dihantar kepada Malaysiakini, menunjukkan pekerja membahagikan saki-baki makanan yang tinggal.

Sejak beberapa tahun lalu, wujud kelompongan dalam sektor perkhidmatan pembersihan, menjadikannya sebagai pilihan untuk sindiket pemerdagangan manusia membekalkan pekerja dalam sektor ini.

Majikan yang menyediakan kontrak pembersihan dibenarkan menempatkan pekerja mereka di premis pelanggan sebagai kakitangan pembersihan untuk satu tempoh yang ditetapkan.

Namun apabila mereka di premis pelanggan, mereka boleh dikerahkan untuk kerja lain seperti melayan pelanggan, di dapur atau dihantar ke kilang, menurut sumber dalam industri kepada Malaysiakini.

Ini bermakna sebaik saja pekerja tiba di Malaysia, mereka boleh dihantar bekerja di syarikat lain tanpa melanggar undang-undang secara teknikal.

Berdepan ugutan

Sejak akhir Januari hingga Mac, sekumpulan 166 pekerja tiba di bawah kuota yang diberikan kepada Aecor Innovation - salah satu daripada enam syarikat dalam sindiket. Ketika itu tiada kerja yang menanti mereka.

Seramai 20 orang diberi kerja sebagai pencuci pada Februari manakala yang lain hanya mula bekerja pada Jun.

Di saat keadaan dilihat bertambah baik, pada Julai mereka tidak lagi dibayar gaji. Pekerja memberitahu Malaysiakini mereka tidak dibayar apa-apa sehingga September. Ketika itu, mereka dapat tahu kontrak pembersihan Aecor sudah ditamatkan.

Pada Oktober, hanya 97 pekerja yang masih kekal di syarikat itu.


Baca: 'Ulat' tawar jual pekerja asing pada agensi berlesen


Ketika ditemui, mereka berkata walaupun ketika gaji masih dibayar, banyak potongan dibuat syarikat antaranya untuk tempat tinggal, kad SIM telefon dan 'pendahuluan' - bertentangan dengan undang-undang buruh dan kontrak kerja mereka.

Kontrak mereka menjanjikan tempat tinggal percuma namun pekerja perlu membayar RM100 untuk tinggal di tempat yang sempit, dengan 10 orang berkongsi satu bilik.

Slip gaji mereka tidak menunjukkan caruman Perkeso ada dibuat namun ada pemotongan atas sebab "demerit".

"Kesilapan kecil pun akan dipotong. Saya keluarkan telefon dari poket untuk tengok pukul berapa, penyelia ambil gambar dan RM200 dipotong dari gaji saya," kata seorang pekerja Bangladesh dengan bantuan penterjemah.

Slip gaji seorang pekerja Aecor, menunjukkan pelbagai potongan gaji dibuat.

Gaji pekerja juga dipotong untuk "bantuan" yang diterima ketika mereka tersadai dan tiada kerja, susulan campur tangan daripada Kementerian Sumber Manusia.

Selain RM500 yang mereka terima sebagai pendahuluan pada September, pekerja tinggal kelaparan dan ada yang menangis kerana perlu meminta ahli keluarga mengirim wang kepada mereka.

Pekerja memberitahu Malaysiakini yang mereka beramai-ramai mengadakan mogok kerja pada akhir September, walaupun selepas Aecor Innovation didakwa mengugut visa mereka boleh dibatalkan dan mereka akan segera dihantar pulang.

Pada 2 Oktober, pekerja membuat laporan polis terhadap Aecor Innovations atas dakwaan tidak membayar gaji dan tindakan syarikat mengugut sesiapa yang membangkitkan isu tersebut.

Pekerja mendakwa majikan malah mengugut untuk membatalkan visa kerja dan membuatkan mereka ditangkap dan ditahan.

Pekerja Aecor Innovation di Jabatan Tenaga Kerja Putrajaya.

Mereka juga membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja Putrajaya, merayu untuk diselamatkan daripada "kehidupan sebagai tebusan".

Selain itu, mereka meminta campur tangan jabatan bagi mendapatkan majikan baru untuk mereka serta meminta tunggakan gaji dibayar serta yuran pengambilan pekerja - berjumlah antara 450,000 hingga 500,000 Taka (RM19,00 hingga RM21,000) - dipulangkan semula.

Walaupun bertindak secara sepakat, para pekerja tetap risau akan dihantar pulang ke negara asal sebelum dapat meraih cukup wang untuk membayar hutang. Bagi mereka jika itu terjadi, kesan yang bakal menimpa sama seperti mati.

"Jika saya perlu pulang sekarang, saya sama ada akan bunuh keluarga dan kemudian bunuh diri, atau dibunuh oleh peminjam wang," kata seorang pekerja.

"Satu-satunya pilihan yang saya ada adalah cara untuk mati."

Malaysiakini telah menghantar soalan kepada semua syarikat yang disebut dalam laporan ini. Setakat laporan ini diterbitkan, tiada yang memberi maklum balas.

Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Imigresen juga tidak memberi maklum balas kepada pertanyaan Malaysiakini.

Laporan ini turut diterbitkan dalam bahasa Nepal oleh Himal Akhbar.


ESOK: Syarikat cengkerang, VIP 'perisai' dalang penipuan kuota pekerja asing

Laporan ini diterbitkan dengan kerjasama wartawan Nepal, Ramu Sapkota dan Centre for Investigative Journalism Nepal.