Skip to main
Logo Malaysiakini

MP cadang asingkan restoran untuk perokok

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PARLIMEN | Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) menggesa kerajaan untuk menimbang langkah mengasingkan restoran untuk perokok dan bukan perokok.

Ahli parlimen PAS itu berkata walaupun dengan pelbagai kempen antimerokok dan peraturan yang ditetapkan kerajaan, penguatkuasaan terhadap mereka yang merokok di kawasan yang dilarang, terutama kedai makan, masih lemah.

Dia berkata perkara itu menyebabkan ramai orang di kedai makan, terutama ibu bapa yang membawa anak mereka, terpaksa berdepan dengan pelanggan tidak bertangungjawab yang merokok di sana.

"Saya cadangkan kerajaan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya kita dapat klasifikasikan restoran untuk orang yang merokok dan restoran untuk orang yang tidak merokok.

"Sebab sekarang ini bila tidak dibuat secara berasingan, kita dapati sukar bagi ibu bapa yang bawa anak-anak untuk memastikan restoran yang mereka masuk tiada yang merokok.

"Kalau pin kita boleh melarang (pelanggan yang merokok), ia bukan di bawah kapasiti individu (awa) untuk melarang mana-mana orang untuk merokok (dan mungkin) akan berlaku pergaduhan pula," katanya di Dewan Rakyat.

Mumtaz berkata demikian ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2024 untuk Kementerian Kesihatan.

Justeru, katanya, sudah tiba masanya untuk kerajaan melaksanakan cadangan itu demi kesihatan orang awam, terutama kanak-kanak dan wanita yang mengandung, daripada asap rokok.

Sementara itu, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menggesa Kementerian Kesihatan untuk mengetatkan penguatkuasaan terhadap orang yang merokok di kawasan awam.

Dia memuju bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang menurutnya berjaya menimbulkan ketakutan kepada perokok untuk merokok di kedai makan sebelum ini.

"Saya nak ucap tahniah kepada Kuala Selangor (Dzulkefly) kerana ketika jadi menteri dulu, masa itulah penguatkuasaan yang sangat ketat sehingga kita tengok orang takut nak merokok di kedai makan dan restoran.

"Saya fikir ia perlu diulangi hari ini supaya orang nampak tindakan tegas terhadap orang yang merokok di khalayak awam, tambahan lagi di kedai makan yang ada anak-anak kecil," katanya lagi.