Skip to main
Logo Malaysiakini

Syarikat cengkerang, VIP 'perisai' dalang penipuan kuota pekerja asing

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Terperangkap di sebalik pagar asrama, warga Nepal Nabaraj, 26, rasa panik yang telah membelenggunya sebaik sahaja diberitahu yang dia perlu pulang ke kampung halaman, jelas terzahir di wajahnya.

Dia dan saudaranya, Suraj (kedua-duanya bukan nama sebenar) hanya diberi tempoh 24 jam untuk berkemas dan meninggalkan Malaysia, pada akhir Oktober lalu.

"Hari ini saya diberitahu yang saya akan terbang esok," kata Nabaraj kepada Malaysiakini. Dia dibantu seorang rakan sekerja yang menterjemahkan kata-katanya.

Wajah yang keras dan suara kasarnya menyembunyikan rasa takut untuk pulang ke kampung halaman dan kembali menjaul sayur di pasar. Pekerjaan itu hanya memberikannya 500 rupee (RM18) sehari, iaitu kurang RM500 sebulan.

Walaupun keluarganya dibelenggu hutang, Nabaraj dan Suraj bertekad membuat pinjaman yang besar dengan beberapa peminjam untuk menampung bayaran kepada ejen pengambilan pekerja.

Mereka menggantung seluruh harapan pada janji kontrak tiga tahun sebagai pembersih di sebuah pusat peranginan, dengan masing-masing berharap mendapat gaji RM1,500 sebulan untuk membantu keluarga.

Ia menjadi impian semua pekerja asing di Malaysia. Namun untuk Nabaraj dan Suraj, impian itu telah menyebabkan keluarga menanggung hutang yang kian meninggi, tanpa peluang untuk bebas daripadanya.

Dua beradik ini kembali ke kampung halaman setelah meraih hanya tiga bulan gaji. Ini kerana mereka tidak diberi pekerjaan sepanjang lima bulan pertama di sini.

Ada pekerja yang tiba di Malaysia namun tiada pekerjaan untuk mereka.

Ketika Nabaraj dan Suraj tiba di Malaysia, mereka dapati tiada kerja pembersihan untuk mereka seperti dijanjikan.

Nabaraj berkata, selepas beberapa bulan menunggu tanpa sebarang pendapatan, mereka ditempatkan di sebuah kilang susu di mana mereka perlu mengangkat barang berat.

Tidak lama selepas itu, dia terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan susu tumpah. Dia berkata kecederaan lama menyebabkan dia tidak dapat mengangkat tong susu tersebut.

"Saya datang ke Malaysia untuk jadi tukang cuci di Genting Highlands di bawah Star Domain Resources. Saya datang bukan untuk kerja ini (di kilang susu)," katanya.

Suraj pula terlibat dalam pergaduhan dengan pekerja lain di asrama.

Dilihat sebagai beban, dua beradik ini diarah berkemas dan akan dihantar pulang dalam tempoh 24 jam, tanpa wang untuk membayar tuggakan hutang 300,000 rupee (RM12,000) setiap seorang yang diambil untuk bekerja di Malaysia.

Star Domain Resources Sdn Bhd adalah satu daripada enam syarikat yang didapati Malaysiakini mendapat ratusan kuota pekerja asing daripada kerajaan dengan menghantar dokumen palsu.

Kelulusan yang diberikan kepada Star Domain untuk mengambil pekerja asing.

Dalang penipuan

Untuk mendedahkan kontrak yang dimeterai adalah palsu, Malaysiakini membuat semakan terhadap maklumat dalam kontrak dan mendapati maklumat seperti nombor pendaftaran syarikat, alamat dan nama pelanggan adalah palsu.

Namun untuk menunjukkan perkaitan antara penipuan dan pelakunya, yang menurut sumber dalaman mengawal kesemua enam syarikat dalam sindiket, tidaklah mudah.

Ini kerana individu yang didakwa menjadi dalang sindiket menggunakan syarikat cengkerang atau syarikat sedia ada milik orang lain, serta tidak meninggalkan jejak wang yang boleh mengaitkannya dengan kegiatan ini.

Sumber dalaman memberitahu Malaysiakini yang semua pembayaran dibuat menerusi wang tunai yang diisi dalam beg besar.

Sejumlah individu yang terlibat dalam syarikat-syarikat ini mengesahkan pernah berurusan dengan dalang tersebut. Malaysiakini tidak mendedahkan identitinya sementara menunggu respons daripadanya.

Kontrak palsu yang dihantar Star Domain untuk mendapatkan kuota import pekerja.

Dalang tersebut didakwa membeli syarikat dua ringgit dan memilih sendiri barisan pengarah syarikat serta pengurusan dan pemegang saham proksi. Oleh itu, tiada kaitan rasmi antara dirinya dengan syarikat-syarikat tersebut.

Selain itu, dia juga menggunakan syarikat yang sudah wujud dengan meyakinkan pemilik syarikat untuk terlibat dalam kegiatannya dan pada masa sama mengelakkan namanya ada dalam sebarang rekod rasmi.

Kesemua individu yang dibawa dalang ke dalam kegiatannya juga tidak tahu berkenaan skim pengambilan pekerja asing yang dijalankannya.

Ini bermakna dia boleh memberi arahan terperinci berkenaan cara menguruskan dokumen dan birokrasi dalam permohonan kuota pekerja tanpa menimbulkan prasangka dalam kalangan kakitangannya.


BACA: 'Ulat' tawar jual pekerja asing pada agensi berlesen


Namun ada kemungkinan dia tidak dapat lari daripada cengkaman undang-undang.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM Ramli Mohamed Yusoof, individu yang didakwa sebagai dalang itu telah ditahan pada 10 Julai lalu atas dakwaan terlibat dalam penipuan pengambilan pekerja asing.

Ramli berkata tangkapan dibuat susulan laporan oleh seorang individu berstatus penduduk tetap yang berkata mereka kerugian RM1 juta ekoran penipuan itu, yang didalangi oleh seorang lelaki berusia 46 tahun.

Lelaki itu telah dibebaskan dengan ikat jamin.

Ramli berkata pihaknya turut menyiasat beberapa syarikat Malaysia yang terlibat dalam pengambilan dan penempatan pekerja asing, serta kaitan mereka dengan lelaki itu.

Antara syarikat yang disiasat ialah Star Domain Resources Sdn Bhd, Aecor Innovation Sdn Bhd, Puncak Jupiter Management Services Sdn Bhd, QL-marketing Sdn Bhd, GT-M Marketing, Buloke Holdings Sdn Bhd (Maxim).

Malaysiakini telah menghubungi pemilik syarikat-syarikat ini untuk mendapatkan respons mereka.

Orang kenamaan dan keabsahan

Menurut sumber dalaman, perniagaan ini secara luarannya nampak memang sah. Ada prosedur pengambilan yang terperinci yang perlu dipatuhi dan infrastruktur digital, menurut mereka.

Ia termasuk sistem operasi yang dibina khas yang telah dilihat Malaysiakini. Menerusi sistem ini, kakitangan operasi warga tempatan dan ejen di negara asal pekerja menguruskan begitu banyak dokumentasi yang diperlukan bagi membawa masuk ratusan pekerja ke Malaysia.

Ada juga sesetengah kakitangan tempatan yang menyertai syarikat selepas dapat tahu berkenaan individu berprofil tinggi yang terlibat dengan syarikat tersebut.

Salah seorang individu itu, yang dilihat menepati gambaran yang diberikan, adalah Ng Yeen Seen.

Yeen Seen adalah perunding perniagaan yang diiktiraf sebagai 'Young Global Leader' oleh Forum Ekonomi Dunia pada 2016.

Dia juga adalah CEO badan pemikir Asli dan anak kepada bekas bendahari dan veteran Gerakan, Ng Chiang Chin.

Di laman Forum Ekonomi Dunia, Dia tersenarai sebagai ahli jawatankuasa Unesco untuk belia Asean, pelbagai majlis kerajaan dan sering diwawancara media sebagai penganalisis dalam pelbagai isu.

Ng Yeen Seen bercakap di acara Forum Ekonomi Dunia pada Jun 2023.

Dia juga pemilik dan pengarah Aecor Innovation, iaitu salah satu syarikat yang disiasat polis berhubung penipuan pekerja asing dan yang didapati Malaysiakini telah mendapat kuota pengambilan pekerja asing melalui penipuan.

Malaysiakini turut becakap dengan sejumlah pekerja Aecor yang tidak diberikan kerja selepas tiba di Malaysia pada Januari lalu. Menurut mereka, Yeen Seen terlibat secara langsung dalam pengurusan pekerja dan merupakan individu yang berkomunikasi dengan mereka sebaik mereka tiba di sini.

Ketika ditemui, Yeen Seen memberi gambaran yang dia telah diperdaya. Dia juga berkata individu yang didakwa sebagai dalang itu begitu meyakinkan.

Namun dia enggan bercakap dengan lebih lanjut berkenaan perkara ini. Ini kerana dia telah membuat laporan polis dan tidak ingin mengganggu siasatan, katanya.

Yeen Seen berkata dia membuat laporan pada Oktober lalu, sebulan selepas Malaysiakini pertama kali bertemunya berkenaan isu pengambilan pekerja asing, dan sembilan bulan setelah dia mendapati pekerja asing di bawah kuota Aecor tiba di Malaysia tanpa sebarang pekerjaan untuk mereka.

Pekerja yang tersadai tanpa pekerjaan selama berbulan menunjukkan dompet mereka yang kosong.

Imej awam yang baik

Patricia Choo Siew Wei, 46, memegang 95 peratus saham dalam GT-M Marketing, sebuah lagi syarikat yang mendapat kuota untuk mengimport pekerja asing melalui penipuan.

Walaupun ada kawalan terhadap syarikat, Choo memberitahu Malaysiakini yang dia tidak tahu ia terlibat dalam pengambilan dan penempatan pekerja asing.

Katanya, tanggungjawab itu terletak di bahu pengarah urusan, Wong Kong Choong @ Leong Kong Choong, 52 - atau lebih dikenali sebagai ‘KC Wong’.

Seperti Ng Yeen Seen, KC juga ada imej awam yang baik. Pada 2016, dia mendapat anugerah Asean Business Award untuk model perniagaan berimpak tinggi.

Halaman laporan tahunan Versatile Creatives Bhd untuk 2017, memaparkan profil KC Wong sebagai pengarah.

Sebagai pengasas dan pengarah urusan GT-Marketing, KC ada pengalaman panjang dalam pelbagai industri serta mengasaskan Versatile Creative Berhad, syarikat tersenarai awam, pada 2000.

Dia juga menjadi profesor di Malaysian Hospitality College pada 2015 dan pemegang amanah badan kebajikan AUTORR Foundation. Kolej tersebut diasaskan adiknya, Wong Kong Yew @ Leong Kong Yew.

Kong Yew, 49, adalah pemilik baki lima peratus saham GT-Marketing. Dia juga pernah menjadi CEO Stone Master Corporation, syarikat pengeluar granit dan marmar yang tersenarai awam, selama setahun.

Menyifatkan dirinya sebagai ahli ekonomi, Kong Yew juga presiden pertama Centre for Tourism and Hospitality and Education, di bawah Program Transformasi Ekonomi ketika pentadbiran Najib Razak, serta naib presiden Kolej UCSI.

Dua beradik ini tidak memberi respons terhadap pertanyaan Malaysiakini.

Berbulan tanpa pekerjaan, mereka hanya dapat makan nasi dengan kuah kari kosong sekali sehari.

Menganggur dan kelaparan

Setengah tahun berlalu sejak kunjungan pertama Jabatan Tenaga Kerja ke asrama di Nilai, Negeri Sembilan selepas dapat tahu pekerja asing yang ditempatkan di situ tiada pekerjaan.

Pada 28 Oktober lalu, keadaan 68 pekerja Aecor kekal sama. Seorang pekerja memberitahu Malaysiakini yang mereka hanya makan sekali sehari - iaitu nasi dengan kuah kari tanpa lauk.

Bekalan makanan kemudian habis, menyebabkan mereka kelaparan selama beberapa hari. Mereka tidak sanggup untuk meminta pertolongan luar.

Mereka kemudian diselamatkan selepas sebuah NGO tempatan dapat tahu tentang apa yang berlaku dan menghantar makanan.

"Kami tiada wang dan malu untuk asyik meminta daripada orang sama, atau orang yang kurang rapat. Majikan sudah tak jawab panggilan telefon kami," katanya.

Keluarga mereka di Bangladesh juga tidak terlepas daripada masalah. Pengutip hutang terus mengetuk pintu rumah bagi menuntut bayaran pinjaman yang mereka buat untuk datang ke Malaysia.

Pekerja bersama borang Jabatan Tenaga Kerja, untuk memohon dipindah ke majikan lain.

Namun perkembangan terbaru mungkin menjanjikan pengakhiran yang lebih baik untuk mereka.

Pada 1 November lalu, pekerja berkata Yeen Seen bertemu mereka di asrama di Nilai dan berkata mereka akan "dipindahkan" ke sebuah syarikat perkapalan antarabangsa, Maersk.

Mereka menunjukkan kepada Malaysiakini salinan borang permohonan kerja yang memaparkan logo Maersk, yang diberikan Yeen Seen kepada mereka. Borang itu tidak menyatakan jenis kerja yang ditawarkan.

Ketika dihubungi, Maersk mengesahkan pihaknya sedang bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Keraja untuk "membantu merekrut pekerja asing yang tersadai", namun tidak menjelaskannya dengan lebih terperinci.

Pada 2 November, pekerja berkata Jabatan Tenaga Kerja telah memindahkan mereka ke sebuah penempatan di Puchong, Selangor dan mereka mula menerima makanan tiga kali sehari.

Mereka tidak tahu apa-apa berkenaan perkembangan ini. Mereka juga tidak pasti jika akan menerima gaji yang tertunggak sebelum ini.

Jabatan Tenaga Kerja menyatakan majikan perlu membayar gaji bulanan walaupun tiada pekerjaan untuk dilakukan pekerja di bawah mereka.

Namun jabatan itu tidak menjawab soalan Malaysiakini berhuung tunggakan gaji pekerja Aecor dan perkara-perkara lain yang dibangkitkan laporan ini.

Hanya masa menentukan jika dalang penipuan ini akan diheret ke mahkamah, atau jika pemilik Aecor, Yeen Seen, adik-beradik Wong dan individu-individu lain yang dinamakan sebagai pengarah atau pemilik syarikat yang terlibat, akan dikenakan tindakan atas apa yang menimpa pekerja-pekerja ini.

Setakat 17 November, pekerja Aecor masih tidak diberi pekerjaan. Namun mereka bersyukur kerana tidak lagi kelaparan.

Mereka tetap menyimpan kebimbangan tapi pada masa sama optimis keadaan akan bertambah baik.

Laporan ini diterbitkan dengan kerjasama wartawan Nepal, Ramu Sapkota dan Centre for Investigative Journalism Nepal.

Bahagian 1: Urus niaga jutaan ringgit dari penipuan permohonan kuota pekerja asing