Skip to main
Logo Malaysiakini

Kula gesa ambil tindakan terhadap restoran pecat pekerja pakai salib

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Bekas menteri sumber manusia M Kulasegaran hari ini menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap seorang pengusaha restoran yang memecat pekerja bukan Islam kerana memakai rantai leher berbentuk salib.

Dalam ucapannya di Dewan Rakyat petang ini, Kulasegaran (Pakatan Harapan-Ipoh Barat) berkata negara mempunyai undang-undang yang khusus menangani diskriminasi agama di tempat kerja.

"(Baru-baru ini) ada pekerja dipecat kerana memakai rantai leher salib, iaitu hal yang berkaitan agama.

"Apakah tindakan yang telah diambil oleh kementerian, kerana saya ingat ada peruntukan spesifik dalam Akta Kerja untuk tindakan diambil.

"Tindakan telah diambil atau belum? Kalau belum, patut diambil tindakan,” katanya.

Ahli parlimen DAP itu membahaskan Rang Undang-undang Belanjawan 2024 di Peringkat Jawatankuasa Kementerian Sumber Manusia.

Kulasegaran turut memberitahu Dewan Rakyat kebimbangannya bahawa diskriminasi sedemikian akan menular di Malaysia sekiranya kerajaan gagal menangani isu itu.

"Saya khuatir esok hari seseorang memakai abu putih di dahi, itu mungkin jadi masalah kepada majikan dan mereka akan dibuang kerja.

"Dan bukan itu saja. Esok hari kebudayaan kita nak pakai Saree dan seumpamanya, atau mana-mana (pakaian tradisional) bangsa di negara ini (akan dilarang)," katanya.

Dua hari lalu, Restoran Mon Chinese Beef Roti dilaporkan memecat pekerjanya selepas video yang menunjukkan individu yang memakai salib tular di media sosial.

Salah satu video mempersoalkan sama ada restoran roti itu cuba menipu pelanggannya kerana kakitangan terbabit menggunakan rantai berkenaan sambil memakai songkok.