Skip to main
Logo Malaysiakini

PM paling sesuai jadi menteri kewangan, kata Rafizi

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

PARLIMEN l Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini mempertahankan keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memegang portfolio kedua sebagai menteri kewangan.

Bercakap ketika menjawab soalan tambahan pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, dia berkata Anwar adalah orang terbaik untuk menerajui Kementerian Kewangan kerana sebagai perdana menteri, dia juga boleh memastikan projek perolehan kerajaan "benar-benar telus".

Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh)

Sehubungan itu, Rafizi (Pakatan Harapan-Pandan) berkata dia tidak bersetuju dengan cadangan Muhyiddin Yassin (Perikatan Nasional-Pagoh) bahawa sudah tiba masanya untuk Anwar melantik seorang menteri kewangan. Malah, bekas perdana menteri itu turut mencadangkan nama ahli Parlimen Pandan tersebut atas alasan defisit kepercayaan terhadap kemampuan Anwar.

“Saya tak setuju. Tokoh yang paling baik jadi menteri kewangan adalah perdana menteri.

“Ini kerana (perdana menteri) yang paling ada tanggungjawab besar untuk memastikan tatakelola perolehan untuk elak seperti berlaku sebelum ini,” katanya.

Menurut timbalan presiden PKR itu, tanggungjawab untuk menyusun semula ekonomi Malaysia dan berusaha ke arah pemulihan terletak pada keseluruhan kabinet.

Katanya, tugas itu diagihkan kepada semua jemaah menteri mengikut mandat dan tugas yang ada dalam kementerian masing-masing.

“Jadi kalau dikatakan bagaimana nak rungkai dan memulihkan ekonomi, ini bukan tugas kementerian atau menteri kewangan semata-mata. Ini tugas bersama semua jemaah menteri yang ada.

(Ini) kerana bidang kuasa mengenai reformasi pasaran buruh ialah berkaitan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia. Yang berkaitan dengan memastikan industri kita ini naik ke tahap yang lebih baik, adalah tanggung jawab menteri Miti (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia), contohnya.

“Untuk memastikan ada bidang-bidang baru, yang boleh menjadi enjin pertumbuhan baru, itu termasuk bidang kuasa bawah Kementerian Ekonomi, NRECC (Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim), KKD (Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia) dan lain-lain,” katanya.

Rafizi Ramli (PH-Pandan)

Rafizi menjawab soalan tambahan Muhyiddin, yang mahu menteri menyatakan sama ada dia bersetuju Anwar harus menyerahkan portfolio menteri kewangan kepada menteri lain.

Bekas perdana menteri itu dalam soalannya mendakwa rakyat dan penganalisis tidak yakin dengan keupayaan Anwar untuk memulihkan ekonomi Malaysia.

Menjawab soalan itu, Rafizi menasihatkan pembangkang agar tidak 'menunggang' nama rakyat jika tidak bersetuju dengan usaha kerajaan melaksanakan pemulihan ekonomi negara ketika ini.

Katanya, pemulihan ekonomi dapat dilihat melalui pencapaian kerajaan dalam pertumbuhan ekonomi yang menyaksikan berlaku tiga kali berturut-turut bagi setiap suku tahun.

"Buat pertama kalinya sejak bertahun-tahun, pertumbuhan ekonomi negara menyaksikan peningkatan dari satu suku ke suku yang lain dan berlaku dalam tiga suku, tahun ini.

"Dekat mana Pagoh (Muhyiddin) kata ekonomi kita tidak pulih, saya nak tanya semasa Pagoh menjadi kerajaan dalam 33 bulan, pernahkah ada tiga suku berturut-turut pertumbuhan dari suku ke suku, pernah ada tak, tidak pernah ada, katanya.

Rafizi berkata, ini kali pertama sejak bertahun-tahun yang negara menyaksikan pertumbuhan ekonomi.

“(Ini) dari satu ke satu suku berlaku dalam tiga suku berturut-turut, yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kemiskinan paling rendah, kenaikan gaji lebih tinggi daripada sebelum ini dan pertumbuhan ekonomi momentum yang baik, inflasi paling rendah.

“Jadi, bahagian mana Pagoh dan rakyat tiada keyakinan, sedangkan kita lihat sedikit demi sedikit keyakinan itu sudah pulih, termasuk pelaburan. Kalau Pagoh dan PN tidak yakin tidak mengapa, tapi jangan salah guna dan menunggang nama rakyat dan pelabur lain," katanya.

[Baca berita penuh]