Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Gatekeeper media’ dulu tak sekejam sekarang, kata Shahidan

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

PARLIMEN l Seorang ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) menyelar cara kerajaan yang didakwa "kejam" dalam menyekat industri media tempatan daripada melaporkan berita yang dianggap bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Berucap ketika membahaskan Belanjawan 2024 di peringkat jawatankuasa Kementerian Komunikasi dan Digital, di Dewan Rakyat, Shahidan Kassim (PN-Arau), mendakwa rakan wartawannya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi Fadzil

Shahidan berkata, pengamal media telah ditegur oleh Fahmi apabila mereka melaporkan berita yang "tidak mengikut skrip kerajaan Madani".

“Apa telah terjadi kepada Fahmi, seorang yang perjuangkan hak kebebasan bersuara pada masa lepas?

“Sebelum ini, perdana menteri juga tekankan (kepentingan) media bebas dan bertanggungjawab, dan ambil sikap terbuka ke atas kritikan dan teguran.

“Ramai rakan media dipanggi SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), dan beberapa portal diberi amaran disekat kerana bertentangan dengan hasrat PM.

“Nak cakap kerajaan dulu dan sekarang, dulu ada gatekeeper (penjaga media). Tapi tak sekejam sekarang. Kita tak boleh syok sendiri. Kita perlu dengar pandangan semua pihak,” katanya.

Shahidan kemudiannya mengingatkan kerajaan supaya menyediakan persekitaran yang kondusif kepada media untuk menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut atau ragu-ragu.

Pada Ogos lalu, sekumpulan veteran dalam bidang kewartawanan membantah tindakan SKMM yang didakwa bertindak sebagai ‘abang besar’ dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan berita.

Menurut mereka, apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ itu hanyalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan.

Antara ahli kumpulan itu, termasuk bekas pengerusi Media Prima, Johan Jaaffar; tokoh wartawan negara, A Kadir Jasin; pemilik Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Hussamuddin Yaacob; bekas pengurus besar Bernama, Azman Ujang; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Chamil Wariya; bekas ketua pengarang Bernama, Yong Soo Heong dan Zakaria Wahab serta bekas pengarang yang kini penganalisis politik, G Manimaran.