Samsuri elak kempen di tempat jamuan, kedai makan
PRK KEMAMAN | Calon PN Ahmad Samsuri Mokhtar mengambil langkah berwaspada dalam kempennya bagi mengelak pertikaian dan mematuhi undang-undang pilihan raya.
Menteri besar Terengganu itu berkata ini kerana ada larangan-larangan dalam berkempen dan dia memilih berkempen dengan begitu cermat.
“Kita sangat berhati-hati. Di perjamuan, pergi makan di kedai sebenarnya tidak dibolehkan dalam pilihan raya, ada larangan-larangan dalam kempen.
"Kalau dia (lawan) tak puas hati terus buat petisyen pilihan raya. Jadi kita sangat cermat untuk pastikan bahawa tidak pergi ke tempat-tempat yang boleh dipertikaikan.
“Itu sebabnya kenapa saya tidak berada di tempat-tempat makan dan sebagainya,” katanya kepada media ketika turun berkempen di sebuah pusat membeli-belah di Kerteh, semalam.
Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai jadual kempennya yang dilihat tidak menyantuni pengundi di sekitar restoran atau kedai makan berbanding dilakukan calon BN, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2019 berkata membelanja pengundi dengan makanan atau minuman untuk meraih undi adalah kesalahan bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya (1954).
Samsuri dilihat mengambil langkah berjaga-jaga itu susulan tindakan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan PAS di Kemaman dalam pilihan raya umum kerana terdapat unsur rasuah.
Sementara itu, calon PN juga diminta mengulas mengenai jadual kempennya yang terhad kerana terpaksa menguruskan pentadbiran negeri.
Jawab Samsuri, perkara itu menjadi realiti yang terpaksa dihadapinya termasuk sekiranya dipilih sebagai ahli parlimen Kemaman.
Bagaimanapun jelasnya, masa yang terbatas dan jadual kerja yang padat tidak menimbulkan sebarang masalah kerana akan dia dibantu oleh ahli empat Adun PN di kawasan itu.
“Pada saya itulah realiti kita kena hadapi bahawa apabila saya menjadi ahli parlimen Kemaman nanti tugas mengurus tadbir negeri tetap berjalan seperti biasa disamping dengan tugas-tugas yang lain.
“Itulah realiti yang ada kita semua kena terima, pada saya tidak memberi apa-apa masalah, kerana keempat-empat DUN di Kemaman ini pun sudah dimenangi oleh PN.
“Jadi dengan keupayaan Adun-Adun dalam parlimen Kemaman sebelum ini pun sangat membantu ahli parlimen Kemaman termasuk juga di kawasan parlimen lain,” katanya yang juga naib presiden PAS.
Dalam perkembangan sama, Samsuri berkata gerak kerja PN sepanjang lima hari berkempen berjalan dengan lancar dan yakin dengan keupayaan jentera dalam membantu memenangi kerusi itu.
“Kita kena faham dalam kempen pilihan raya bukan semata-mata tugas seorang calon, sebab itu jentera PAS dua minggu sebelum pilihan raya (bermula) sudah turun berkempen.
“Semuanya sudah bergerak masuk ke seluruh pelusuk kampung dan unit daerah mengundi (UDM), usaha semua jentera daripada atas sampai ke bawah semuanya telah bergerak,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai