Skip to main
Logo Malaysiakini

Bagaimana Madani agih-agihkan 'ghanimah'

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Anwar Ibrahim telah lama berkempen untuk perubahan sebelum menjadi perdana menteri lagi.

Namun, ada perkara yang dia tidak bersedia untuk melaksanakan perubahan terlalu drastik - pelantikan politik dalam jawatan GLC dan agensi berkaitan kerajaan.

Pakatan Harapan (PH) tidak berjanji untuk mengubah amalan ini dalam manifesto 2022 walaupun berjanji berbuat demikian dalam manifesto 2018 ketika bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad*.

Daripada 442 jabatan kerajaan, agensi dan GLC yang tersenarai di bawah Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2023, ahli politik daripada gabungan pemerintah Anwar memegang sekurang-kurangnya 61 jawatan lembaga pengarah.

Artikel ini hanya akan meneliti pelantikan yang tidak dipegang oleh menteri kabinet atau ketua menteri atau menteri besar kerana sesetengah entiti memerlukan mereka mempengerusikan lembaga itu, mengikut undang-undang dan peraturan negeri masing-masing.

Maklumat mengenai pelantikan ahli lembaga pengarah diperoleh dari sumber terbuka pada 22 Nov dan secara tidak sengaja boleh mencicirkan pelantikan rasmi yang tidak diumumkan.

Pada 2020, pentadbiran Muhyiddin Yassin menyaksikan sekurang-kurangnya 29 ahli parlimen penyokong kerajaan mengambil jawatan GLC atau jawatan lembaga pengarah agensi.

Ini selepas dakwaan “scheme of things' (agih-agih jawatan untuk dapat sokongan) yang direka untuk menggalakkan kesetiaan di kalangan ahli parlimen parti pemerintah pada masa pentadbiran Muhyiddin dalam episod politik tidak stabil berikutan Langkah Sheraton 2020.


BACA BERKAITAN:

Bagaimana PN kongsi 'ghanimah'


Sebaliknya, pentadbiran Anwar mempunyai sekurang-kurangnya 19 ahli parlimen parti pemerintah yang mendapat jawatan dalam lembaga pengarah.

Anehnya, bahagian terbesar pelantikan menjadi milik Umno (17), diikuti PKR (15) dan Amanah (12).

Pelantikan ini tidak termasuk jawatan GLC, atau jawatan agensi yang dipegang oleh menteri kabinet.

Umno terlalu banyak diwakili kerana bahagian mereka daripada 61 jawatan itu bersamaan 27.8 peratus, walaupun hanya menyumbang 17.2 peratus kerusi parti pemerintah di Dewan Rakyat.

Semua pelantikan daripada Umno melibatkan sekutu rapat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Enam pelantikan melibatkan agensi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah - Zahid merupakan menterinya.

Ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad yang juga ketua Wanita Umno dilantik sebagai pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) pada Mac.

Pada Mei, Reezal Merican Naina Merican pula dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, tiga bulan sebelum memenangi kerusi DUN Bertam untuk BN-Umno.

Pelantikan lain ialah bekas ahli parlimen yang berpengaruh seperti Ahmad Said, yang kini mengetuai Lembaga Kemajuan Terengganu (Ketengah), Jamil Khir Baharom, yang mengetuai Lembaga Kemajuan Kedah (Keda) dan Ahmad Shabery Cheek yang menjadi pengerusi Felda.

Pelantikan Shabery pada Jun mungkin melanggar manifesto 2018 PH. Dalam manifesto tersebut terdapat bab berkaitan komitmen terhadap peneroka Felda, yang menjanjikan anggota lembaga pengarahnya bukan daripada golongan ahli politik.

“Sistem pentadbiran Felda akan dirombak agar suara peneroka boleh didengar secara rasmi di peringkat pengurusan tertinggi, dan memberhentikan lantikan berdasarkan jawatan politik dalam Lembaga Pengarah Felda dan anak-anak syarikatnya,” kata manifesto itu.

Manifesto 2022 bagaimanapun tidak menyentuh berkaitan Felda.

Sekutu rapat Zahid dan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), sebuah agensi berkuasa yang ditugaskan untuk mewujudkan usahawan bumiputera dan mengendalikan institusi pendidikan untuk bumiputera.

Orang-orang presiden

PKR parti pimpinan Anwar menduduki tempat kedua dengan sekurang-kurangnya 15 pelantikan, sekali lagi tidak termasuk menteri kabinet. Kebanyakan yang dilantik itu dikenali sebagai penyokong setia Anwar.

Antaranya enam ahli parlimen - R Ramanan (Sungai Buloh), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Wong Chen (Subang), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau) dan Zahid Hassan (Wangsa Maju).

Fauzi Abdul Rahman, salah seorang penyokong tegar Anwar dari Pahang, dilantik sebagai pengerusi MyHSR Corporation pada Jun.

Secara kebetulan, Farhan (gambar, atas) anak kepada Fauzi merupakan salah seorang daripada tiga setiausaha politik Anwar. Menurut orang-orang politik, Farhan yang paling berpengaruh daripada ketiga-tiga pegawai itu.

Orang kepercayaan Anwar lain yang dikenali - Azman Ismail, Dr Lee Boon Chye, Dr Azman Ismail, Noor Amin Ahmad, Nor Azrina Surip dan Muhammad Nor Manuty - turut dilantik.

Bahagian PKR daripada 61 pelantikan adalah lebih tinggi daripada 20.5 peratus kerusi parlimen parti itu yang membentuk kerajaan.

Amanah pula terlalu banyak wakil dalam GLC dan pelantikan agensi, memegang 12 daripada 61 jawatan (19.7 peratus), walaupun hanya menyumbang 5.3 peratus kerusi kepada parti pemerintah di parlimen.

Sebaliknya, DAP hanya mempunyai enam daripada 61 jawatan (9.84 peratus) walaupun menjadi parti terbesar kerajaan (26.5 peratus).

Lantikan mengejutkan

Terdapat tiga ahli parlimen DAP yang berjaya mendapat jawatan lembaga pengarah - Khoo Poay Tiong (Kota Melaka), RSN Rayer (Jelutong) dan Vivian Wong (Sandakan).

Dipercayai, Charles Santiago daripada DAP dipilih sendiri oleh Anwar untuk mengetuai Suruhanjaya Perkhidmatan Air (Span) dan bukannya melalui laluan biasa sebagai calon daripada parti.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang menjadi teras Gabungan Parti Sarawak, diberikan tiga lantikan jawatan, melibatkan ahli parlimen - Richard Rapu @ Aman Anak Begri (Betong), Yusuf Abd Wahab (Tanjong Manis) dan Ahmad Johnie Zawawi ( Igan).

Terdapat lapan parti dengan satu pelantikan masing-masing - Gabungan Rakyat Sabah (GRS), United Progressive Kinabalu Party (Upko), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Bangsa Malaysia (PBM), People's Democratic Party (PDP), MCA, Parti Rakyat Sarawak dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Menariknya, Anifah Aman (gambar, atas) daripada PCS dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Labuan pada Jun lalu walaupun partinya tidak mempunyai kerusi dalam DUN Sabah atau Dewan Rakyat.

Pengasas Upko Bernard Dompok antara pelantikan terawal, setelah dilantik ke lembaga pengarah SME Corp pada April.

Anwar didakwa memberi restu dalam lantikan Anifah dan Dompok - yang partinya mempunyai pengaruh kecil - kerana tiada satu perlantikan melibatkan ahli Warisan parti yang lebih besar dengan tiga ahli parlimen dan 14 Adun.

Satu lagi pelantikan yang mengejutkan melibatkan Chua Tee Yong daripada MCA. Walaupun tidak memegang teraju utama kepimpinan parti, Chua telah dilantik ke lembaga Lembaga Lebuhraya (LLM) pada April sebagai ahli lembaga "mewakili kepentingan khusus."

Parti penyokong kerajaan tanpa sebarang jawatan, menurut kajian Malaysiakini ialah MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (Supp), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan seperti yang disebut sebelum ini, Warisan.

Penyelidikan tambahan oleh Tan Kah Kah dan Chua Jia Hui.


Nota editor: Tanda * bermaksud terdapat perubahan dibuat supaya lebih jelas. Sebarang kesulitan adalah dikesali.