Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengusiran: Nasib 3,000 penduduk kampung di Labuan terumbang-ambing

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Pengusiran bermula kira-kira jam 7 pagi hari ini apabila pasukan pelbagai agensi lebih 20 pegawai turun ke kampung itu.

Kira-kira 3,000 penduduk di Kampung Gersik, Labuan telah diusir dari rumah mereka, selepas menerima notis oleh Majlis Ugama Islam Sabah (Muis).

Penduduk memberitahu Malaysiakini mereka bimbang apabila nanti rumah mereka dirobohkan dan tidak ada tempat lain untuk berlindung.

Menurut pengerusi jawatankuasa bertindak penduduk kampung Omar Abbang, pengusiran bermula kira-kira jam 7 pagi hari ini apabila pasukan pelbagai agensi lebih 20 pegawai turun ke kampung itu.

"Mereka termasuk pegawai polis, Jabatan Imigresen, Lembaga Elektrik Sabah, Perbadanan Labuan, Jabatan Bekalan Air Labuan, Pejabat Tanah dan Muis sendiri," dakwa Omar yang berkongsi gambar dan video pengusiran itu dengan Malaysiakini.

Katanya, walaupun pegawai menjalankan tugas dengan sopan, implikasi tindakan mereka itu membawa malapetaka kepada penduduk yang tinggal di situ.

"Mereka merobohkan rumah kami. Apabila saya bertanya kepada mereka, dijangka kami nak pindah ke mana, wakil Muis hanya menjawab dia tidak tahu," dakwa Omar.

Bagaimanapun, anggota parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman memberitahu Malaysiakini bahawa dia akan melawat tempat itu esok.

Berbeza dengan versi penduduk, Suhaili berkata terdapat ramai warga asing tinggal di situ.

“Mereka telah diberikan notis awal yang cukup masa, dan kita tidak akan usir mereka tanpa tempat tinggal. Ini isu lama pendudukan haram atas tanah Muis,” katanya.

Suhaili berkata akan mengeluarkan kenyataan lanjut selepas lawatanya esok.

Malaysiakini juga telah menulis kepada Muis dan dimaklumkan bahawa soalan-soalan itu telah dimajukan kepada pihak yang bertanggungjawab, tetapi tiada penjelasan lanjut telah diberikan.

Semalam, Omar memberitahu Malaysiakini penduduk kampung menerima notis pengusiran itu enam bulan lalu, tetapi percubaan untuk melibatkan Muis dan pemimpin politik termasuk Ketua Menteri Sabah Hajiji Haji Noor dan Suhaili berhubung pengusiran itu telah gagal.

Dalam notis bertarikh 22 Mei yang dilihat oleh Malaysiakini, penduduk dua lot di Kampung Gersik seluas 14 hektar diberitahu bahawa tanah yang didiami mereka didaftarkan kepada Muis dan mereka mesti mengosongkan premis itu dalam tempoh enam bulan.

"Kami sudah tinggal di sini untuk beberapa generasi,” katanya.

Omar juga berkata kebanyakan penduduk kampung bekerja sebagai nelayan dan buruh serta menerima bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Sebanyak 95 peratus juga daripada mereka rakyat Malaysia, tambahnya.

“Jadi kenapa tiada siapa pun beri respons?” soal Omar semalam.

[Baca berita asal]