Skip to main
Logo Malaysiakini

Jamin telus - Tuan Ibrahim lancar kutipan derma NGO mesra PAS

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

PARLIMEN | NGO mesra PAS bermatlamatkan usaha bantuan bencana Khidmat Malaysia, telah melancarkan kutipan derma dalam persediaan menghadapi musibah banjir tengkujuh pada penghujung tahun.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memberi jaminan semua akaun NGO itu diaudit dan dibuka untuk penelitian umum.

Beliau berkata "Tabung Musa'adah" menyasarkan untuk mengumpul jumlah awal RM500,000, dengan tumpuan untuk pengagihan di negeri-negeri Pantai Timur yang terjejas akibat banjir.

"Setiap akaun kita diaudit. Kita terbuka. Maknanya setiap perbelanjaan, banyak mana kita dapat, perbelanjaan dan sebagainya semua kita audit.

"Bererti kita mematuhi semua peraturan yang ada. Tidak ada yang tersembunyi," katanya kepada pemberita pada sidang media di lobi parlimen.

Bersama ahli parlimen Kubang Kerian itu yang melancarkan kutipan derma tersebut ialah Pengerusi NGO Khidmat Malaysia dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap kutipan derma oleh NGO.

Ini selepas SPRM pada awal hari ini memaklumkan pembekuan 41 akaun bank dan lebih RM15 juta dana yang dikaitkan dengan Aman Palestin Bhd dan beberapa syarikat lain yang terlibat dalam mengumpul dana untuk rakyat Palestin di Gaza.

SPRM berkata pembekuan akaun ini berkaitan siasatan terhadap “dakwaan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai."

Aman Palestin sebelum ini telah berdepan kesukaran di Perlis apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) menghentikan kutipan di negeri itu sementara menunggu siasatan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata Khidmat Malaysia pada tahun lepas telah berjaya mengumpul dan mengagihkan RM1.2 juta sumbangan termasuk melalui kerjasama dengan NGO lain dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

"Bila kita bergerak sebagai satu badan kebajikan, perkara pertama yang perlu kita jaga adalah keyakinan orang ramai kepada kita.

“Kita tak mahu ada pihak yang ambil kesempatan atas kesusahan orang lain. Kumpul dana dan tidak jujur dalam membuat pengagihan.

"Ini mengikis keyakinan orang ramai kepada badan-badan macam ini," katanya.

Menurut Marzuk pula, NGO Khidmat Malaysia sejak penubuhannya pada 2013 telah menubuhkan pejabat di seluruh negara dan merekrut lebih 19,000 sukarelawan, selain aset yang digunakan dalam usaha menyampaikan bantuan.