Skip to main
Logo Malaysiakini

'Rujuk perbincangan jawatankuasa teknikal tangani pertindihan syariah, sivil'

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mujahid Yusof menggesa kerajaan merujuk kembali perancangan yang dirangka oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil di bawah Jakim bagi menangani pertindihan antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Gesaan itu di tengah petisyen mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang difailkan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

Mujahid berkata, usaha mengharmonikan mahkamah syariah dan sivil menjadi fokus jawatankuasa tersebut ketika dia memegang portfolio agama semasa pentadbiran PH pada 2018 hingga 2020.

Dia berkata pelbagai inisiatif digerakkan dengan melibatkan ramai pakar perundangan bagi menyelesaikan perkara itu secara menyeluruh.

"Fokus jawatankuasa ialah melihat pertembungan sivil-syariah secara struktural perundangan dan menyeragamkan undang-undang syariah negeri-negeri yang didapati berbeza-beza hukuman walaupun bagi jenayah sama.

"Selain itu, jawatankuasa ini turut memperkenalkan konsep rehabilatatif dalam perundangan syariah yang tidak diperuntukan sebelum ini," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Katanya lagi, matlamat akhir jawatankuasa itu adalah untuk menyediakan rangka undang-undang jenayah syariah secara menyeluruh dengan menutup kemungkinan kelompongan undang-undang yang boleh dicabar di mahkamah.

Pada 20 November lalu, Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan terhadap petisyen yang difailkan Nik Elin yang memohon agar 20 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dibatalkan, atas dasar DUN Kelantan melangkaui bidang kuasa ketika memasukkan kesalahan tersebut.


PANDUANKINI | Penjelasan tentang petisyen cabar enakmen syariah Kelantan


Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat), Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual) kerana dikatakan bertindih dengan mahkamah sivil.

Ketika pendengaran, kira-kira 2,000 ahli dan penyokong PAS serta barisan pemimpin pembangkang berhimpun pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya sebagai tanda bantahan terhadap petisyen tersebut.

Keesokannya, kerajaan mengumumkan satu jawatankuasa khas, yang akan dipengerusikan oleh seorang bekas ketua hakim negara, bagi mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN berkenaan penggubalan undang-undang syariah.

Mujahid menyambut baik penubuhan jawatankuasa itu namun pada masa sama berharap kerajaan merujuk kembali perancangan yang telah dirangka Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang menurutnya terbantut ekoran Langkah Sheraton pada 2020.

"Roadmap menyeluruh libat urus semua pihak berkepentingan telah dirangka (jawatankuasa teknikal) melalui garis masa yang ditetapkan. Kesemua pihak dari negeri-negeri yang mempunyai bidang kuasa undang-undang syariah telah dilibatkan.

"Kita tak perlu mencipta 'roda baru' dalam menangani konflik perundangan syariah dan sivil dan dengan ini dapat membantu kerajaan Madani mempercepat penyelesaian dan akhirnya menutup kes seumpama ini di masa depan secara tuntas dan konklusif.

"Selaku bekas menteri agama yang bertanggungjawab dalam isu ini, saya mengharapkan isu pertindihan ini dinoktahkan dan supaya tiada pihak yang boleh mengekploitasikan isu pertindihan ini untuk mencapai kepentingan politik sempit mereka," katanya lagi.