Skip to main
Logo Malaysiakini

Di dialog Apec, Anwar bandingkan Palestin dengan perang Rusia-Ukraine

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) untuk menggunakan piawaian sama ketika menanggapi isu Palestin, seperti mana pendirian mereka terhadap perang Rusia-Ukraine.

Bercakap dalam satu majlis di Shah Alam hari ini, Anwar berkongsi pengalamannya di mesyuarat Apec di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) awal bulan ini, yang turut disertai Presiden AS Joe Biden.

Walaupun sebagai tetamu AS, Anwar berkata dia tiada pilihan selain berterus terang dalam menyuarakan pandangannya berkenaan penderitaan yang dialami rakyat Palestin.

"Kita berhadapan dengan presiden AS. Di sebelah kanan saya, setiausaha negara AS (Anthony Blinken). Saya tiada pilihan (kecuali bersuara) kerana fikirkan ibu, bayi dan rumah-rumah yang dimusnahkan. Kanak-kanak menjadi mangsa.

"Ada 32 juta rakyat Malaysia yang tiada peluang untuk menghampiri presiden AS," kata Anwar.

Pentadbiran Biden menjadi antara penyokong paling kuat operasi ketenteraan Israel di Gaza yang telah meragut nyawa ribuan orang awam.

Konsisten ketika tangani konflik

Menurut Anwar, dia memberitahu pemimpin Apec agar bersikap konsisten dalam menangani konflik, dengan menjadikan perang Rusia-Ukraine sebagai perbandingan.

Anwar dan Biden di Apec

"Saya pilih untuk guna perkataan yang betul walapun ia (mungkin cetuskan) rasa tidak selesa. Saya kata dalam perang Rusia-Ukraine, Barat minta kita kecam Rusia kerana mencerobohi Ukraine. Wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa.

"Saya tanya mereka kenapa dalam isu Palestin, mereka tidak konsisten. Mengapa standard berbeza? Saya beritahu mereka agar tidak paksa negara lain mengikut rentak yang ditentukan negara kuasa besar.

"Saya kata anda tidak boleh tentukan nada perbahasan," kata Anwar, yang sebelum ini berdepan dakwaan di Parlimen yang dia tidak mengambil langkah mencukupi untuk Palestin.

"Bukan senang untuk dapatkan keberanian bagi bersuara untuk rakyat. Tapi Alhamdulillah kita lakukannya, walaupun jika (ada pihak) yang tidak hargai, mereka patut berhenti kecam kita," katanya lagi.

Anwar juga menjawab kritikan yang dia patut memberi tumpuan kepada kesukaran yang dihadapi golongan minoriti di Malaysia, berbanding konflik di Palestin.

Dia berkata konflik di Palestin adalah isu kemanusiaan dan melibatkan orang Islam dan juga bukan Islam.

Di Malaysia, katanya lagi, kanak-kanak minoriti tidak berdepan pengeboman tanpa henti dan rumah serta tanah mereka tidak dirampas.

"Seperti yang saya kata di Parlimen semalam, masjid dan gereja (di Gaza) dimusnahkan," katanya lagi.

[Baca berita asal]