Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis: Hanya Wahab tahu identiti sebenar 'Mr H'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Identiti Mr H yang berkait dengan siasatan kes video perbualan mirip bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff hanya boleh disahkan oleh pegawai J-KOM Abdul Wahab Abdul Kadir.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata hal ini kerana hanya Abdul Wahab yang mengetahui identiti sebenar Mr H dan polis boleh mengenal pasti individu terbabit selepas disahkan Abdul Wahab.

Dia berkata setakat ini, Abdul Wahab belum tampil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes itu dan polis telah cuba menghubungi pegawai J-KOM berkenaan melalui peguamnya untuk meminta lelaki itu segera tampil memberikan keterangan.

“Setakat ini, bukti berkaitan Mr H hanya berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Mohammad Agus dan selagi keterangan Abdul Wahab belum diperoleh, identiti Mr H masih misteri.

“Setakat semalam, polis telah merakam keterangan empat individu iaitu Mohammad Agus, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard, seorang pekerja hotel dan individu yang didakwa sebagai Mr H,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, polis belum dapat mengesahkan individu yang hadir memberi keterangan itu ialah Mr H seperti yang didakwa.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan siasatan gangguan seksual melibatkan ketua pengarah sebuah agensi keselamatan, Mohd Shuhaily berkata polis telah merakam keterangan pegawai kanan berkenaan pada 2.30 petang semalam.

“Polis turut merampas telefon bimbit milik pegawai kanan terbabit semalam dan setakat ini, tiga keterangan telah diperoleh termasuk mangsa dan pegawai khas ketua pengarah berkenaan,” katanya sambil memberitahu polis akan mengambil keterangan beberapa saksi lagi bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, tular menerusi media sosial paparan laporan polis seorang wanita berusia 39 tahun mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang pegawai tinggi kerajaan agensi keselamatan bergelar Datuk sejak tahun lepas.

Wanita yang bekerja sebagai penasihat kewangan itu mendakwa pertemuannya dengan individu terbabit pada November lepas berkaitan dengan cadangan pelaburan dan kewangan dan sejak pertemuan kali pertama itu, individu terbabit didakwa telah mengganggu mangsa menerusi perbualan dan kandungan gambar serta video lucah.

-Bernama