Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis: Sirul masih dalam senarai notis merah Interpol

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Polis masih mengekalkan nama Sirul Azhar Umar dalam notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) walaupun dia telah dilepaskan dari tahanan imigresen Australia, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Mohd Shuhaily berkata setakat ini tiada arahan dikeluarkan oleh mana-mana pihak untuk mengeluarkan nama Sirul Azhar yang sebelum ini disabitkan dengan kesalahan membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, daripada notis itu.

“Nama dia (Sirul) masih lagi dalam notis merah...Saya rasa tiada arahan untuk dikeluarkan...meskipun dia dah dibebaskan di Australia.

“Kami masih mengkaji akan kaedah-kaedah (untuk membawa Sirul pulang ke negara ini) dan kini ia di peringkat AGC (Jabatan Peguam Negara),” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di Kuala Lumpur hari ini.

Bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu yang dikenakan hukuman gantung atas kesalahan membunuh Altantuya pada 2016 berada dalam tahanan imigresen di Australia sejak tuntutannya untuk suaka di negara itu ditolak pada 2019.

Mohd Shuhaily Mohd Zain

Sementara itu mengulas mengenai ancaman bom palsu di sekolah yang diterima melalui e-mel, Mohd Shuhaily berkata pihaknya sedang berhubung dengan pihak berkuasa di Jamaica dan Trinidad dan Tobago berikutan kedua-dua negara itu turut menerima ancaman yang sama awal bulan ini.

“Ini untuk mengetahui apa terjadi sebelum ini di negara mereka, untuk mengetahui apa punca dan motif e-mel ini dihantar.

“Setakat ini, kami dah terima 51 laporan polis di seluruh negara melibatkan empat sekolah bantuan kerajaan, 15 sekolah swasta dan 32 sekolah antarabangsa. Berdasarkan siasatan awal kami mendapati individu terbabit mengambil alamat e-mel sekolah terlibat yang dipaparkan di domain awam,” katanya.

Dia berkata 10 kertas dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Walaupun ancaman ini palsu, polis mengambil ancaman ini secara serius kerana kami tidak mahu ada pihak menangguk di air keruh dan mengambil peluang mengganggu ketenteraman negara. Polis tetap akan ke setiap sekolah yang menerima ancaman e-mel berkenaan,” katanya.

-Bernama