Skip to main
Logo Malaysiakini

Penipuan kuota pekerja asing: Kami beri kepercayaan pada pihak M'sia - Kedutaan Nepal

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Masalah "pekerja asing Nepal tanpa pekerjaan walau dengan kontrak" membingungkan Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur, apabila ia mula menerima aduan daripada warga negara itu.

Perkara itu dinyatakan setiausaha kedua kedutaan Prem Bahadur Budthapa, yang memaklumkan pihaknya turut bingung selepas mendapat tahu kontrak yang digunakan untuk mendapatkan kuota pekerja asing adalah palsu dan jumlah pekerja melebihi permintaan, seperti yang didedahkan Malaysiakini minggu ini.

Prem berkata ini kerana semua permohonan untuk mendapatkan pekerja diperiksa dan diluluskan tiga kementerian Malaysia sebelum sampai ke pihak kedutaan untuk pengesahan.

"Dokumen yang telah disemak silang oleh badan kerajaan terlibat menandakan ia ada kelulusan kerajaan Malaysia - satu pengesahan yang perlu kami kami akui dan yakini.

"Saya tak faham (skandal) 'kontrak palsu' kerana kami sahkan permohonan hanya selepas kelulusan Kementerian Luar.

"Bagaimana lebihan pekerja boleh berlaku semasa mereka (kementerian) peruntukkan kuota kepada syarikat untuk import pekerja dari negara asing?" soal Prem.

Sebelum permohonan sampai ke Kementerian Luar, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri mengendalikan permohonan menerusi satu proses rumit yang telah dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022 yang dikeluarkan Rabu lalu.

Semalam, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berikar untuk menyelesaikan ketidakcekapan yang dibangkitkan dalam laporan itu, yang menurutnya ekoran kelemahan-kelemahan sebelumnya.

V Sivakumar

Kedua-dua Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri mengendalikan pusat sehenti dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) - bergantung kepada permohonan - untuk menilai dan meluluskan permohonan kuota pekerja asing.

Prem mengulas laporan Malaysiakini yang mendedahkan bagaimana kontrak palsu, didakwa bernilai jutaan ringgit dengan syarikat palsu, digunakan untuk mendapat kelulusan mengimport lebih 1,000 pekerja.


Urus niaga jutaan ringgit dari penipuan permohonan kuota pekerja asing

Syarikat cengkerang, VIP 'perisai' dalang penipuan kuota pekerja asing


Menerusi satu sindiket, enam syarikat mendapat kuota untuk merekrut 1,625 pekerja asing. Antara syarikat itu adalah Star Domain Resources yang mendapat kuota mengimport 980 pekerja.

Lebih 100 aduan sebulan

Laporan Malaysiakini menunjukkan betapa proses pemeriksaan yang longgar oleh kerajaan menyebabkan ratusan pekerja tiba di Malaysia tanpa pekerjaan untuk mereka.

Kedutaan Nepal berkata ia menerima aduan melibatkan 301 kes yang dibawa Star Domain Resources dan menanggapi semua kes tersebut sebagai masalah gaji yang tidak dibayar, bukannya masalah tiada pekerjaan.

Prem berkata pihaknya tidak menganggap mereka sebagai "penganggur" kerana mereka menandatangani kontrak dengan majikan, walaupun kontrak pembersihan yang didakwa telah dimeterai majikan adalah palsu.

"Individu yang datang dari Nepal untuk bekerja ada kontrak kerja dan visa syarikat, maka mereka bukan tiada pekerjaan.

"Kami menerima lebih 100 aduan berkenaan gaji tak dibayar oleh pekerja yang tiba di Malaysia tahun ini," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata Jabatan Tenaga Kerja juga telah meletakkan Star Domain Resources dalam senarai hitam dan mendapatkan majikan baru kepada pekerja warga Nepal.

Walaupun pasukan kecilnya dibanjiri dengan banyak permohonan, Prem berkata kedutaan tetap membuat pemeriksaan rawak terhadap permohonan syarikat yang telah pun mendapat kelulusan kerajaan Malaysia.

"Ada kala kami berkunjung ke syarikat, periksa asrama pekerja dan bercakap dengan pekerja sedia ada untuk melihat rekod prestasi syarikat.

"Pemeriksaan ini dibuat ke atas permohonan yang telah diluluskan agensi kerajaan Malaysia," katanya lagi.

Kematian warga Nepal disiasat semula

Sementara itu, Prem berkata polis telah membuat siasatan kedua terhadap kematian perekrut tenaga kerja Nepal, Rinji Rai, 47, yang mati di Kuala Lumpur pada April lalu, apabila dia datang untuk mengendalikan status pekerja yang direkrutnya.

Katanya, siasatan kedua dibuka susulan permintaan daripada pejabat perdana menteri Nepal dan koroner, yang juga merupakan hakim Mahkamah Sesyen, akan memutuskan punca kematian Rinji dan sama ada untuk memulakan inkues awam atau tidak.

Dia berkata polis memaklumkan perkembangan ini kepadany secara lisan, tanpa makluman secara bertulis.

"Sebaik saja saya terima (pengesahan rasmi dari polis), saya akan hantarnya kepada pejabat perdana menteri dan kementerian luar," katanya lagi.

Mendiang Rinji Rai

Pemeriksaan Malaysiakini dengan polis sebelum ini mendapati menolak ada perbuatan khianat dalam kematian itu.

Pada April lalu, Rinji ditemui mati di tandas asrama pekerja di Nilai, Negeri Sembilan, hanya tiga hari selepas dia tiba di Kuala Lumpur untuk menguruskan isu visa pekerja melibatkan pekerja yang direkrutnya untuk Star Domain Resources.

Pada 20 November lalu, bekas ahli Parlimen Charles Santiago menggesa Pejabat Peguam Negara untuk memulakan inkues terhadap kematian Rinji.

Persatuan Solidariti Buruh dan Sumber Pembelajaran (LLRC) pula berkata kematian itu tidak seharusnya dipandang remeh memandangkan ia berkaitan dengan skandal pengambilan pekerja asing.