Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu jawatan presiden Bersatu: Ini bukan gimik, kata Muhyiddin

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Muhyiddin Yassin menegaskan isu berkenaan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan presiden Bersatu serta kegamatan yang tercetus susulannya, bukan drama atau gimik semata-mata.

Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita, selepas mengumumkan dia menarik balik hasrat tersebut.

"Gimik? You tanya kawan-kawan lain ini gimik ke? Saya bukan main-main, you kalau duduk di atas (pentas) tu, you dengar tu...ini bukan main gimik, bukan budak-budak punya main.

"Ini gimik ke? Ia semua tertulis dalam ucapan dasar saya," katanya ketika sidang media selepas tamat Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di IDCC, Shah Alam, hari ini.

Muhyiddin berkata desakan dan permintaan para perwakilan serta pandangan isterinya sendiri agar dia kekal sebagai presiden antara faktor utama dia menarik semula hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan itu.

"Saya dah buat keputusan, saya kata saya tidak akan menawarkan diri. Saya fikir kerana masa telah tiba dan bagi ruang kepimpinan sedia ada, kita ada pengalaman, kemampuan.

"Tapi suara-suara yang datang ini agak kuat sangat sampai saya terasa saya harus memikirkan secara semasak-masaknya.

"Bukan saya nak menonjolkan isteri saya...tapi dialah yang hantar mesej kepada saya mengatakan, 'dengar.. mereka perlukan awak'," katanya lagi.

Cadangan majlis penasihat

Berkenaan cadangannya agar Bersatu menubuhkan majlis penasihat, Muhyiddin berkata dia mengutarakannya kerana berpendapat dia masih boleh terus memainkan peranan dalam parti jika tidak lagi menjadi presiden.

"Itu antara cadangan awal, mungkin saya boleh terus bagi khidmat dan idea, tak semestinya sebagai presiden.

"Itulah saya cadang tadi tapi tak diterima. Saya tawarkan tadi jika tidak bertanding, saya bersedia untuk jadi penasihat kepada parti," katanya.

Katanya lagi, parti boleh melantik tokoh terkemuka Melayu untuk turut menganggotai majlis itu, yang akan berperanan membantu menentukan hala tuju dan dasar parti, serta turut berperanan menyaring dan menentukan calon dalam pilihan raya.

"Ada keperluan untuk satu badan yang memberikan pandangan dan nasihat, itu tujuan kita," katanya lagi.