Skip to main
Logo Malaysiakini

Suhakam gesa pasukan khas siasat penipuan kuota pekerja asing

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Pesuruhjaya Suhakam Ragunath Kesavan menggesa kerajaan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat skandal pemerdagangan manusia yang turut melibatkan pegawai kerajaan.

Menurutnya dakwaan ada kontrak palsu digunakan untuk mendapatkan kuota import pekerja asing yang dilaporkan dalam pendedahan Malaysiakini minggu ini adalah petunjuk jelas bahawa pegawai kerajaan terlibat dalam penipuan tersebut.

“Hanya pasukan petugas yang terdiri daripada pegawai tertinggi daripada agensi penguatkuasaan dan kawal selia utama yang boleh membasmi rasuah yang berakar umbi dalam pengurusan migran, tanpa halangan.

“Rasuah dalam pengurusan migran telah lama membarah dan sindiket mengutip sejumlah besar wang daripada pekerja, memalsukan dokumen untuk mendapatkan kuota tetapi tidak menyediakan pekerjaan menunjukkan masalah serius di peringkat lebih tinggi.

"Kita bercakap tentang nyawa manusia - lelaki dan wanita - yang diperdagangkan ke negara ini dan, yang mengejutkan, pegawai kerajaan boleh terlibat dalam situasi yang membimbangkan ini," katanya sambil menegaskan keperluan segera menangani perkara itu.

Ragunath menambah kerajaan juga perlu mempertahankan hak asasi manusia selaras dengan standard Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, di mana Malaysia merupakan negara anggota.

Susulan pendedahan baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berjanji menjalankan siasatan penuh terhadap sindiket kuota pekerja asing yang didedahkan dalam laporan itu.

Bagaimanapun, Ragunath berkata kementerian kekurangan sumber yang diperlukan untuk menjalankan siasatan sedemikian.

Alasan birokrasi

Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri menguruskan pengambilan pekerja asing melalui proses yang sukar difahami dan perkara itu turut diberi amaran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022 yang diterbitkan pada Rabu lalu.

“Birokrasi dalam proses permohonan pekerja asing hanya berfungsi sebagai tempat penyebaran rasuah, di mana individu dan sindiket yang tidak bertanggungjawab boleh mengeksploitasi sistem untuk keuntungan kewangan.

“Menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada Kementerian Sumber Manusia untuk menyelesaikan krisis pekerja asing juga tidak praktikal kerana kekangan sumber.

“Ia akan menjadi satu cabaran bagi Kementerian Sumber Manusia dan KDN untuk menyiasat pihak mereka sendiri secara berkesan,” katanya.

Ragunath mengulas pendedahan Malaysiakini mengenai kontrak palsu yang dikatakan bernilai jutaan ringgit dengan syarikat yang tidak wujud, digunakan untuk mendapatkan kuota untuk mengimport lebih 1,000 pekerja.

Secara keseluruhan, sebuah sindiket memperoleh kuota untuk mengambil 1,625 pekerja asing menerusi enam syarikat.

Laporan itu mendedahkan betapa lemahnya pemeriksaan oleh kerajaan menyebabkan beratus-ratus pekerja yang tiba mendapati tiada pekerjaan disediakan untuk mereka.

Masalah pekerja asing Nepal tanpa pekerjaan turut membingungkan Kedutaan Nepal.

Dokumen-dokumen tersebut, setelah disemak oleh tiga kementerian sebelum sampai ke kedutaan itu, mendapat kelulusan dari kerajaan Malaysia - satu pengesahan yang diakui dan dipercayai kedutaan itu.

Kedutaan itu juga menambah bahawa mereka telah menerima lebih daripada 100 aduan gaji yang tidak dibayar setiap bulan hanya untuk tahun ini saja, dan sedang menyiasat kes-kes tersebut sebagai pelanggaran hak buruh.

Pastikan ketelusan

Setelah melakukan lawatan ke seluruh negara untuk bertemu pihak berkepentingan, Ragunath berkata dia menerima laporan daripada pegawai yang menguruskan pekerja asing bahawa pekerja-pekerja tersebut tiba di lapangan terbang tanpa ada majikan yang menjemput mereka.

“Hampir setiap hari, pekerja yang tiba di KLIA terkandas kerana majikan atau ejen mereka gagal hadir untuk menerima dan membersihkan mereka daripada imigresen.

“Ini adalah cabaran berterusan untuk Jabatan Imigresen dan Buruh. Siapakah majikan mereka dan mengapa tiada tindakan diambil terhadap mereka atau ejen-ejennya?" soal Ragunath.

Bulan lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan bahawa negara ini mengalami lebihan bekalan 120,000 pekerja asing dalam sektor perkhidmatan sahaja.

Bagaimanapun, dia mengaitkan lebihan bekalan yang besar itu dengan penyalahgunaan permit.

Ragunath berkata kekurangan minat untuk menyiasat isu itu di peringkat tertinggi, mengenal pasti kelemahan dalam sistem dan mendakwa individu yang bertanggungjawab adalah membingungkan.

“Dalam pada itu, majikan yang memerlukan pekerja asing terus menunggu dalam proses birokrasi.

“Perlu ada sistem baru yang akan memastikan ketelusan, akauntabiliti dan kemampuan,” kata Ragunath.