Skip to main
Logo Malaysiakini

Saifuddin bidas PAS kerana tak puas hati Hadi dituduh 'mandi bogel'

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

KONGRES PKR | Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail membidas PAS yang tidak berpuas hati kerana seorang pemimpin Umno menyerang presiden parti mereka, Abdul Hadi Awang.

Dalam ucapan penggulungannya di Kongres PKR ke-17, Saifuddin memetik bantahan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu Satiful Bahari Mamat terhadap Ketua Umno Terengganu Ahmad Said, yang menuduh Hadi "mandi bogel" dalam kolah di Masjid Rusila.

Kata Saifuddin, PAS berdiam diri ketika sekutu mereka menghina Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai “peliwat”.

Saifuddin merujuk kepada kecaman pemimpin Bersatu Mohd Radzi Md Jidin di Dewan Rakyat Sept lalu, yang berkata "Tambun peliwat" - merujuk kepada Anwar.

“Undang-undang (Islam) mengenai perkara itu (tuduh orang lain berzina untuk menghina) adalah jelas […] keterangan mereka tidak akan diterima sebagai saksi (di bawah undang-undang syariah),” kata Saifuddin.

“Tetapi dakwaan mandi bogel menjadi isu besar (kepada PAS)?” kata menteri dalam negeri itu lagi.

Satiful semalam berkata PAS akan membuat laporan polis berhubung kenyataan Ahmad Said dan beberapa lagi dakwaan pelanggaran peraturan kempen oleh BN.

Dalam ucapannya hari ini, Saifuddin terus menggesa ahli PKR untuk menangkis kecaman sedemikian dengan hujah berdasarkan fakta, termasuk serangan baru-baru ini yang menyasarkan Anwar dan kerajaan berhubung dakwaan menyokong konsert antarabangsa utama.

“Kita mempunyai kekuatan berdasarkan hujah yang kukuh.

“Kita mesti lawan dan hadapi (sebarang dakwaan) dengan fakta,” katanya.

Dia kemudiannya memetik senarai lebih panjang konsert antarabangsa yang dianjurkan semasa PAS dalam kerajaan sebagai sebahagian daripada pentadbiran terdahulu.