Skip to main
Logo Malaysiakini

PRK Kemaman: Peneroka Felda harap nasib infrastruktur uzur terbela

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Peneroka Felda di Chukai menaruh harapan tinggi agar Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman dapat mengubah ‘nasib’ fasiliti dan infrastruktur uzur serta terbiar di enam tanah rancangan di kawasan Parlimen itu.

Ketua Peneroka Felda Neram Satu Abd Aziz Ibrahim mendakwa sejak berlaku perubahan tampuk pemerintahan kerajaan negeri, kemudahan disediakan kerajaan terdahulu yang sepatutnya diselia majlis daerah seperti dewan orang ramai di tempatnya, terbiar tanpa diselenggara.

“Parti yang memerintah sekarang di Terengganu saya lihat tidak dapat melaksanakan banyak tugas dan tanggungjawab terutama sekali di tempat saya dengan dewan dan fasiliti banyak terbiar, sehinggakan peneroka sendiri terpaksa mengambil inisiatif membersihkan kawasan ditinggalkan.

“Sebelum ini tidak pernah terjadi. Dewan terjaga, masjid terjaga dan penuh dengan aktiviti,” katanya kepada Bernama.

Daerah Kemaman yang terletak di selatan Terengganu itu mempunyai enam tanah rancangan Felda dengan jumlah pengundi hampir 20,000 daripada keseluruhan 141,790 pengundi yang layak bagi PRK itu.

Sementara itu, seorang lagi peneroka Muhammad Jusoh, 73, yang menetap di Felda Neram Satu sejak 1970-an, mengakui isu itu berlaku hanya pada fasiliti di bawah seliaan majlis daerah sementara fasiliti di bawah selenggaraan Felda berada dalam keadaan terurus.

“Sejak saya mula menetap di sini, saban tahun banyak kemudahan-kemudahan telah disediakan. Kerajaan negeri yang ada sekarang ini cuma perlu bantu jaga sahaja. Tapi itu tidak berlaku,” katanya.

Muhammad Rajmir Ramli, 50, pula berharap Ahli Parlimen Kemaman yang dipilih nanti dapat mengusahakan sebuah klinik kesihatan dan pondok polis bagi memudahkan urusan para peneroka.

“Sekarang ini tidak ada klinik kesihatan ataupun sekurang-kurangnya pondok polis.

“Sebagai contoh jika berlaku kematian, balai polis paling hampir untuk kami membuat laporan terletak 15 kilometer dari sini,” katanya.

Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar, atas) berkata PRK Kemaman ini adalah peluang bagi para peneroka memilih wakil rakyat yang boleh memberikan fokus sepenuh masa kepada pengundi di kawasan, berbanding individu yang mempunyai komitmen lain.

“Kalau orang yang dipilih itu tidak boleh beri sepenuh masa kerana tugas-tugas lain yang berat, saya merasakan ia akan menyebabkan keadaan lebih sukar lagi untuk memenuhi keperluan masyarakat Felda.

Perumahan generasi baru Felda

“Bukan semuanya boleh diselesaikan Felda, tetapi wakil rakyat yang baik akan mencari cara memenuhi dan menyelesaikan perkara-perkara yang berkaitan isu dewan, infrastruktur dan sebagainya,” katanya ketika ditemui.

Ahmad Shabery berkata isu-isu besar lain, terutama berkaitan perumahan dan pekerjaan kepada generasi baharu Felda hanya dapat diselesaikan sekiranya ada hubungan yang baik antara wakil rakyat dan kerajaan Persekutuan.

PRK Kemaman menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Dis ini bagi hari mengundi untuk PRK Kemaman yang diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Bernama