Skip to main
Logo Malaysiakini

Timb menteri: Terserah PM jika mahu pindahkan J-KOM

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PARLIMEN | Kerajaan tidak bercadang untuk memindahkan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang kini di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching (PH- Kulai) berkata buat masa ini tiada perubahan melainkan jika ada arahan daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memindahkan J-KOM .

Katanya keputusan untuk meletakkan J-KOM di bawah JPM dibuat kerajaan terdahulu di bawah pentadbiran bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

"Keputusan untuk pindah J-KOM dibuat pada 2021 pada masa itu yang berhormat Pagoh masih merupakan perdana menteri dan jugalah Indera Mahkota (Saifuddin Abdullah) merupakan menteri komunikasi pada masa tu.

"Saya kurang pasti apa yang telah dibincang dalam mesyuarat jemaaah menteri pada masa itu.

"Tapi setakat ini keputusan kerajaan perpaduan adalah J-KOM masih kekal di bawah JPM.

"Tapi sekiranya di masa akan datang sekiranya yang amat berhormat perdana menteri berhasrat ingin pindah balik JKOM, jadi KKD akan ikut arahan," katanya ketika sesi pertanyaan lisan di parlimen, hari ini.

Teo berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong).

Lim dalam soalan tambahnya bertanya apakah kerajaan tidak mahu mengembalikan J-KOM ke KKD bagi mengelak pertindihan dan pembaziran wang rakyat.

"Nama dia jabatan komunikasi, misinya memperkukuhkan digital, soalan saya adakah perlu J-KOM diletak di bawah KKD untuk mengelak pembaziran wang rakyat," soal Lim.