Skip to main
Logo Malaysiakini

Johor rancang bangun kawasan baru tanam padi - Exco

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Kerajaan Johor merancang untuk melaksanakan Projek Pembangunan Kawasan baru Tanaman Padi melibatkan kawasan seluas hampir 700 hektar dengan anggaran kos RM74 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata daerah yang dikenal pasti untuk projek berkenaan ialah Tangkak, Muar dan Kluang.

Beliau berkata projek yang akan dijalankan Jabatan Pertanian Negeri Johor dan pelbagai agensi itu juga telah menarik minat dua syarikat dari China untuk bekerjasama.

"Pembangunan kawasan baru sawah ini memerlukan kos yang sangat tinggi dengan anggaran RM74 juta (bagi luas 700 hektar) atau RM104,000 per hektar.

"Jadi, kerajaan negeri membuka ruang kepada pihak swasta untuk bersama-sama menjalankan usaha menanam padi dan sehingga ke hari ini, dua syarikat China berminat dan sedang melihat sama ada mereka boleh menjalankan usaha penanaman padi ini," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Iskandar Puteri hari ini.

Zahari berkata projek itu akan melibatkan kerja penyediaan kawasan dengan kos pembangunan sebanyak RM44,000 per hektar serta kerja pembangunan sistem pengairan primer dengan kos pembangunan RM60,000 per hektar.

Beliau berkata Jabatan Pertanian mengesyorkan pengurusan sawah bagi projek itu dibuat secara bersepadu seperti Program SMART Sawah Berskala Besar, yang mampu menarik pihak swasta sebagai rakan kongsi kerajaan bagi menjadikan subsektor padi dan beras negara lebih dinamik dan berdaya saing.

Kerajaan negeri juga, katanya antara lain telah mencadangkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memperluas kawasan penanaman padi dengan mewujudkan Kawasan Pertanian Bersepadu (IADA) Wilayah Selatan, menerusi penggabungan pengurusan sawah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

"Pelaksanaan itu akan memberi manfaat bagi mengoptimumkan penggunaan sumber untuk meningkatkan pengeluaran industri padi dan beras sekali gus mentransformasi sektor agromakanan secara terancang," katanya.

Sementara itu, beliau berkata keluasan dan pengeluaran tanaman padi di Johor adalah kecil, dengan keluasan skim adalah seluas 2,254.39 hektar atau 0.8 peratus, berbanding keluasan pasel padi negara iaitu seluas 280,208 hektar.

Menurut Zahari daripada jumlah keseluruhan skim di Johor, hanya 1,631.55 hektar luas pasel adalah aktif yang melibatkan 10 kawasan tanaman padi.

Beliau berkata lima kawasan adalah di Tangkak dengan keluasan sawah 842.97 hektar, Mersing (dua sawah; 549.38 hektar), Muar (satu sawah; 364.22 hektar), Kluang (satu sawah; 356.12 hektar) dan Batu Pahat (satu sawah; 141.70 hektar).

- Bernama