Skip to main
Logo Malaysiakini

Idris tegur KPM bawa 'budaya mundur' Arab Badwi

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Seorang ahli Parlimen PAS mendakwa amalan menyekat pemimpin politik memasuki premis sekolah sebagai budaya Arab Badwi yang "mundur" diamalkan kerajaan sekarang.

Kata Idris Ahmad (PN- Bagan Serai) isu larangan tersebut "cukup popular" dibangkitkan pelbagai pihak.

Ia juga, katanya, mengundang persoalan sama ada pemimpin politik pembangkang saja yang dilarang atau membabitkan ahli politik secara keseluruhan.

"Apakah perkara (larangan) ini terpakai kepada pembangkang sahaja atau kedua-duanya sekali?

"Kalau tak nak bagi orang politik (masuk sekolah), pembangkang tak boleh, kerajaan pun tak boleh. Masuk nak merasmikan mesyuarat PIBG (persatuan ibu bapa dan guru) pun tak dibenarkan walaupun persetujuan telah dibuat.

"Sesuai dengan Madani, sepatutnya budaya (Arab) Badawi (Badwi) tidak dibawa masuk dalam pendidikan," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Bekas menteri agama kerajaan PN itu berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan.

Menurut Idris kerajaan tidak layak bercakap mengenai reformasi dalam sistem pendidikan jika budaya Arab Badwi itu dibawa masuk di peringkat sekolah lagi.

"Jika di peringkat sekolah telah dibawa masuk budaya (Arab) Badawi yang mundur macam mana kita nak bercakap soal untuk reform, soal Madani?

"Sekarang ini ada guru takut untuk menerima kek hari guru, kek daripada kami seolah-olah nak ambil dadah atau bahan berbahaya," katanya lagi.