Skip to main
Logo Malaysiakini

MP PN bidas cadangan tubuh j'kuasa pantau guru tak sokong kerajaan

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Seorang ahli parlimen PN membidas cadangan perwakilan PKR pada kongres parti itu semalam agar jawatankuasa khas ditubuhkan untuk memantau guru yang tidak menyokong kerajaan.

Ahmad Marzuk Shaary (PN- Pengkalan Chepa) berkata guru sepatutnya bebas menyokong mana-mana pihak asalkan mereka menjalankan tugas dengan baik.

"Campur tangan politik dalam sistem pendidikan yang sudah pasti akan menjahanamkan pendidikan. Jika langkah ini dilaksanakan, jelas kerajaan hari ini laksanakan dasar reformasi kuku besi.

"Apa guna (wakil rakyat) kerajaan dulu berguling-guling melawan pentadbiran BN menuntut hak kebebasan, jika kerajaan amal dasar kuku besi.

"Selagi mana guru ini mengamalkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, tiada masalah sekiranya mereka ini menyokong mana-mana pihak," katanya ketika perbahasan Belanjawan 2024 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dia juga berkata setakat hari ini belum ada teguran daripada KPM mahupun kepimpinan PKR terhadap cadangan tersebut.

Semalam, perwakilan PKR Johor Haryati Abu Nasir mencadangkan KPM membentuk jawatankuasa tersebut kerana mendakwa ada trend membimbangkan dalam kalangan penjawat awam yang secara terbuka menunjukkan penentangan terhadap kerajaan.

Haryati berkata jawatankuasa itu untuk memantau dan mengenal pasti isu yang menyebabkan kumpulan itu menentang kerajaan.

"Ia untuk memerhati, membendung dan mengkaji. Mungkin ada benda-benda yang boleh kita perbetulkan, penambahbaikan," katanya.

Idris Ahmad

Sementara itu, Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) secara sinis menyifatkan cadangan berkenaan sebagai idea politik "zaman piring hitam" yang bercanggah dengan amalan demokrasi dan tidak bertamadun.

"Ini idea politik zaman piring hitam, zaman surat khabar lama-lama yang dianggap tidak bertamadun.

"Zaman Madani semua kalut belaka," kata Idris ketika berbahas.

Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) pula menegaskan guru berhak menyokong mana-mana pihak, selaras dengan prinsip demokrasi.

"Ini tak bertamadun, ini hak demokrasi. Dulu mereka (kerajaan ) marahkan Umno, sekarang mereka mencadangkan pula," katanya lagi.