Skip to main
Logo Malaysiakini

MP bangkit 'kekeliruan' pelaksanaan DLP di sekolah

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Isu sekitar pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) di sekolah antara yang dibangkitkan ahli parlimen kerajaan dan juga pembangkang ketika perbahasan Belanjawan 2024 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat, hari ini.

Radzi Jidin (PN-Putrajaya) membangkitkan kumpulan pendidikan yang dilaporkan bimbang dengan pelaksanaan dasar itu - yang mula diperkenalkan pada 2015 - di sejumlah sekolah mutakhir ini yang mencetuskan kekeliruan di kalangan ibu bapa.

Radzi berkata dia menerima aduan daripada sejumlah ibu bapa di Kuala Lumpur yang mendakwa ada sekolah yang menarik semula keputusan untuk membenarkan pelajar belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris di bawah dasar itu.

"Ibu bapa dijanjikan anak-anak mereka yang masuk darjah satu akan belajar di bawah DLP namun kemudian dimaklumkan mereka akan dipindah ke program biasa," kata bekas menteri pendidikan itu.

Katanya lagi, ibu bapa tidak jelas dengan hala tuju Kementerian Pendidikan (KPM) dan maka kementerian itu perlu memberi penjelasan berkenaan perkara itu.

Teresa Kok

Sementara itu, Teresa Kok (PH-Seputeh) berkata lembaga pentadbiran Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan telah memohon kepada KPM dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membenarkan sekolah meneruskan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris.

"Ini hasrat persatuan ibu bapa dan guru dan juga selaras dengan pengumuman perdana menteri untuk mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris tahun depan," katanya.

Syarat ketat

Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mempersoalkan apa yang menurutnya sebagai syarat baru untuk sekolah mengadakan kelas DLP, termasuk perlu ada sekurang-kurangnya satu kelas setiap sekolah yang mengadakan pembelajaran dua subjek itu dalam Bahasa Melayu.

Wee antaranya menyampaikan kebimbangan yang disuarakan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (Page) sejak awal tahun ini.

"Apa keperluan mengetatkan syarat untuk DLP?" soalnya.

Wee Ka Siong

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bagaimanapun tidak menjawab persoalan yang dibangkitkan ahli parlimen berkenaan perkara ini sepanjang 25 minit tempoh penggulungannya, yang menyentuh pelbagai isu lain termasuk komitmen untuk menangani kekurangan guru.

Ia menyebabkan Radzi bangun dan meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul untuk memberi lebih masa kepada Fadhlina.

Johari menerima cadangan itu dan Fadhlina meminta tambahan lima minit untuk perbahasannya.

Dia kemudian memberi jaminan kepada Radzi dan ahli parlimen lain bahawa "tiada perubahan" dalam garis panduan DLP.

"Jangan bimbang tentang Bahasa Inggeris. Ada banyak program dan dasar lain untuk mengukuhkan Bahasa Inggeris.

"DLP hanya satu program. Jangan bimbang, ada pendekatan lain yang kami (KPM) telah ambil untuk mengukuhkan Bahasa Inggeris di kalangan murid," katanya.

Menurut KPM, pada masa ini ada 2,240 sekolah yang melaksanakan DLP, iaitu 1,613 sekolah rendah dan 807 sekolah menengah.

[Baca berita asal]