Skip to main
Logo Malaysiakini

Janji Belanda bantu perkukuh sistem tebatan banjir kini tak menentu

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Bantuan kepakaran yang dijanjikan Belanda untuk untuk menambah baik sistem tebatan banjir Malaysia kini tidak menentu berikutan kemenangan besar ahli politik kanan Geert Wilders dalam PRU negara itu baru-baru ini.

Anwar Ibrahim berkata Wilders ialah seorang ahli politik veteran Belanda yang bersikap anti-Islam Belanda dan mengetuai kumpulan pelampau kanan, Parti Kebebasan (Partij voor de Vrijheid atau PVV).

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata perkembangan politik di Belanda ketika ini tidak begitu menggalakkan.

Justeru katanya kerajaan tidak pasti sama ada rancangan negara ini untuk mendapatkan bantuan pakar Belanda bagi mengatasi banjir saban tahunan akan menjadi kenyataan atau tidak.

"Malang atau tak malang, saya tak tahu... kerajaan dan kelompok yang menang (di Belanda) itu ekstrem kanan dan sangat anti-Islam serta minoriti di Belanda.

"Saya tak tahu hal ni (bantuan kepakaran) akan diteruskan atau sebaliknya kerana Mark Rutte (perdana menteri Belanda sebelum ini) sudah mengundurkan diri," katanya.

Geert Wilders

Anwar juga memberitahu Dewan Rakyat dia akan berhubungi dengan Wilders untuk mendapatkan maklumat terkini jika Amsterdam masih memberikan komitmen untuk membantu Malaysia.

Dia berkata demikian pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri hari ini. Sebelum itu Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) bangkit untuk bertanyakan soalan tambahan mengenai rancangan kerajaan menangani masalah banjir di negara ini.

Pada 1 Nov lalu, Anwar dilaporkan berkata bantuan kepakaran dari Belanda akan diterima kerajaan dalam usaha membantu mengurangkan perbelanjaan pengurusan banjir.

Pada masa itu, dia turut memberitahu Menteri Luar Zambry Abdul Kadir akan membuat langkah susulan termasuk mempercepatkan proses ketibaan pasukan pakar terbabit.

Belanda mengadakan PRU mengejut pada 22 Nov lalu bagi memilih 150 ahli parlimen sekali gus membentuk kerajaan dengan mandat baru.

Selepas PRU dijalankan, parti Wilders mencatat kemenangan besar dan dianggap antara keputusan PRU paling mengejutkan buat Belanda sejak Perang Dunia Kedua.

Asalnya negara itu dijadual mengadakan PRU pada 2025 namun parlimen dibubarkan selepas kabinet keempat Rutte runtuh pada 7 Julai lalu gara-gara dasar imigresen kerajaan.

Reuters pula melaporkan, usaha Wilders membentuk kerajaan berdepan halangan walaupun memperoleh 24 peratus undi dan memenangi 37 kerusi.

Dengan sokongan setakat itu PVV perlu mendapatkan sokongan daripada sekurang-kurangnya dua lagi parti aliran sederhana untuk membentuk kerajaan.