Skip to main
Logo Malaysiakini

Apa status siasatan projek 'kambing dan pasir' Sabah - Adun Elopura

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Seorang Adun Sabah menggesa pihak berkuasa menyatakan status siasatan berhubung dakwaan projek ternakan kambing di sebuah pulau terpencil di Sabah.

Adun Elopura Calvin Chong berkata dia dan Adun Sekong Alias Sani tidak menerima sebarang kemas kini berkenaan perkara itu sejak mereka membuat laporan polis pada 10 Oktober lalu.

"Pihak berkuasa perlu menjelaskan jika tanah kerajaan negeri dipindah hak milik melalui prosedur yang betul.

"Jika betul, rakyat patut tahu mengapa kerajaan negeri setuju membenarkan ladang ternakan kambing yang besar di sebuah pulau yang hampir tidak berpenghuni, tanpa bekalan air dan elektrik," kata mereka dalam kenyataan.

Alias dan Chong juga menggesa pihak berkuasa menyiasat apa yang didakwa sebagai dokumen rasmi yang dikongsikan di internet pada awal bulan lalu, mendakwa kerajaan negeri memindah milik enam bidang tanah di Pulau Balambangan untuk tujuan pertanian dan penternakan kambing.

Alias Sani

Chong berkata siasatan perlu dibuat bagi menjamin integriti warisan Sabah, memandangkan Pulau Balambang dikenali kerana mineralnya, terutama pasir silika yang berharga.

Adakah surat sah?

Dokumen yang dikongsikan itu termasuk dakwaan enam pucuk surat dari Jabatan Tanah dan Survei yang menawarkan untuk memberi milik tanah kerajaan negeri berkeluasan 1,016 hektar di Pulau Balambangan kepada empat syarikat.

Tanah itu kira-kira sama luas dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - salah satu kampus terbesar di Malaysia.

Berdasarkan koordinat DMS pada peta di surat itu, lima bidang tanah adalah bersambung dan merangkumi 966 hektar di bahagian timur pulau.

Dua dokumen bertarikh 12 Mac 2023 manakala empat lagi - masing-masing menetapkan 234 hektar - bertarikh 18 Julai 2023. Dalam setiap empat surat itu, dinyatakan tanah untuk "penternakan kambing" secara khusus.

Semua dokumen ditandatangani Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sabah Bernard Liew.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Liew enggan mengulas berkenaan ketulenan dokumen tersebut atas dasar ia kini disiasat polis dan SPRM

"Pihak berkuasa telah merakamkan keterangan kami. Biar SPRM dan polis menyiasat perkara ini dan menentukan ketulenan dokumen yang viral itu," katanya lagi.

Percubaan beberapa kali untuk mendapatkan kemas kini siasatan daripada polis dan SPRM juga tidak terjawab.

KM nafi ada salah laku

Kesemua enam dakwaan penawaran untuk pindah milik tanah adalah kepada empat syarikat berbeza yang dimiliki orang yang sama - Thomas Hah Tiing Siu.

Pada 15 Oktober, Hah menyatakan dia menarik balik cadangan pelaburannya daripada sebuah projek pembangunan pertanian.

“Setelah mengambil kira isu dan polemik yang dibangkitkan pihak tertentu, dengan rasa kesal syarikat telah membuat pertimbangan sewajarnya dan memutuskan untuk menarik balik cadangan pelaburan pembangunan untuk sektor pertanian kawasan terbabit," katanya.

Thomas Hah Tiing Siu

Pada 9 Oktober, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menafikan ada salah laku dalam permohonan tanah kerana ia mendapat kelulusan Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) Kudat.

"Permohonan membabitkan tanah Yayasan Sabah sudah dirujuk kepada Lembaga Pengarah Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) dan semuanya dibuat mengikut undang-undang," katanya seperti dipetik Berita Harian.

Tidak jelas jika kandungan mana-mana enam surat tersebut melibatkan tanah milik Yayasan Sabah - badan milik kerajaan negeri dan syarikat induk ICSB.

Pulau terpencil

Secara kebetulan, kawasan yang diuntukkan bagi tujuan "penternakan kambing" dalam surat itu terletak kira-kira tiga kilometer di barat sebuah kawasan yang didakwa aktivis menjadi tempat perlombongan pasir silika pada 2020.

Projek itu melibatkan usaha sama antara Yayasan Sabah dan konglomerat Sarawak, KTS Group. Usaha sama dimeterai pada 2019.

Imej satelit kawasan itu bertarikh 17 November tidak menunjukkan sebarang bukti berkenaan kegiatan perlombongan sedang dilakukan.

Pasir silika mengandungi silikon dioksida (SiO2) yang tinggi dan digunakan dalam pelbagai penggunaan industri bernilai tinggi seperti pembuatan kaca, sel fotovoltan (PV) untuk panel solar dan wafer silikon untuk cip komputer.

Terdapat tiga kampung kecil di timur Pulau Balambangan. Pulau tersebut di luar grid elektrik dan berdasarkan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040, tiada perancangan untuk menyediakan bekalan elektrik di pulau itu.

Kajian yang dibuat tiga penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia menyimpulkan bahagian barat pulau mengandungi ciri geologi yang terbentuk sejak era Cretaceous, dengan nilai estetik dan warisan geologi yang tinggi yang perlu dilindungi untuk generasi akan datang.

Pulau itu terletak di dalam Taman Marin Tun Mustapha - taman marin terbesar di Malaysia yang meliputi Pulau Banggi, Kudat dan Pitas.

Menurut Seksyen 41 Akta Perikanan 1954, undang-undang membataskan pembangunan demi melindungi hidupan marin dan karang.

[Baca berita asal]