Skip to main
Logo Malaysiakini

Enam kes Amla Adam Radlan dipindah ke mahkamah sesyen KL

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Enam pertuduhan pengubahan wang haram baru yang dihadapi Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad di Mahkamah Sesyen Shah Alam dibenarkan untuk dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Ia menjadikan ahli perniagaan itu berdepan 12 pertuduhan, iaitu lima pertuduhan meminta dan menerima rasuah manakala tujuh pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA).

Hakim Azura Alwi turut membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadhly Mohd Zamry untuk memindahkan kesemua kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi ahli perniagaan itu untuk didengar di Mahkamah Sesyen Jenayah 14 (Hakim Suzana Husin).

"Perintah dibenarkan seperti yang dipohon. Kes-kes yang dihadapi tertuduh di mahkamah ini akan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah 14," kata Azura.

Di hadapan Suzana, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh memaklumkan pihaknya akan membuat permohonan untuk kesemua kes berkenaan dibicarakan bersama selepas dokumen berkaitan kes AMLA diteliti oleh pembelaan dan perkara itu disahkan oleh peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam mewakili Adam Radlan.

Suzana kemudian menetapkan 11 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Pada 9 Nov lepas, Adam Radlan sebagai Pengarah Syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas enam pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM3.675 juta dari akaun syarikat tersebut kepada akaun CIMB Bank Berhad miliknya dan tiga individu lain antaranya Nabilah Mahiaddin dan Ameer Azlan Mohd Ayob antara 1 Dis 2021 dan 27 Dis 2022.

Pertududuhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) [Akta 613] yang membawa hukuma penjara maksimum 15 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda jumlah atau nilai daripada hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 21 Feb lepas, ahli perniagaan itu dituduh di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa atas satu lagi pertuduhan menerima suapan RM500,000 daripada individu sama (Mat Jusoh) sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Dutamas dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku pada Mac 2021 dan 26 Nov 2021.

Sementara itu, pada 22 Feb lepas, Adam Radlan didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy bagi mendapatkan dua projek jenis sama (Jana Wibawa).

Pada 28 Feb lepas, dia sekali lagi didakwa iaitu secara rasuah meminta wang berjumlah RM2 juta daripada Lian sebagai upah untuknya kerana membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek berkaitan Jana Wibawa.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pada 25 Okt lepas, Adam Radlan didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000 mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

- Bernama