Skip to main
Logo Malaysiakini

Fitnah PM dajal, AMK S'gor lapor polis terhadap Chegubard

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor membuat satu laporan polis terhadap aktivis Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard kerana menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai dajal.

Timbalan ketua skuad dan mobilisasi AMK Selangor Firdaus Abdol Samad membuat laporan itu di ibu pejabat polis daerah Shah Alam, malam tadi.

"Saya percaya bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh individu tersebut mampu mendatangkan mudarat awam disamping mempunyai elemen jenayah yang bersifat menghina dan fitnah serta mampu mendatangkan kebencian atau penghinaan bagi membangkit rasa tidak setia terhadap kerajaan terutamanya terhadap perdana menteri," katanya.

Firdaus yang juga naib ketua AMK Shah Alam berkata laporan polis itu dibuat berdasarkan rakaman video di laman Facebook PAS Terengganu bertajuk “(Siaran Langsung), Ceramah perdana PRK P040 Kemaman" anjuran Perikatan Nasional di Markas UDM Dadong, Kg Tebak Batu 16 pada 26 November.

Menurut Firdaus lagi, dalam rakaman berdurasi 1:45 minit tersebut, Badrul telah mengeluarkan kenyataan menghina dan memutar-belit agama dengan ekstrem yang berbunyi seperti berikut:

"Dalam kitab akhir zaman, kitab Al Fitan yang menulis persoalan akhir zaman, yang dikarang oleh Ibnu Katsir, menulis dengan jelas akhir zaman nanti ada seorang, sebentuk ke sebuah ke makhluk Allah namanya dajal.

"Dajal ini saudara, dajjal ini, dajjal ini, ketika dajal muncul, padi dah tak berbuah, kering, kontang, masalah rakyat ni bermasalah. Dajal pusing dunia saudara. Dajal bawa segunung emas istilahnya dalam Al-Fitan.

"Dia bagitahu dekat rakyat, dia bagitahu dekat manusia, siapa nak emas, siapa nak makan, siapa nak roti, siapa nak air, kena nyatakan dulu sokongan kepada dajal. Haa, baru boleh roti, emas apa semua nak boleh. Saudara, dajal hari ini namanya Anwar Ibrahim."

Firdaus berkata tuduhan Badrul itu boleh menimbulkan suasana tidak harmoni, perpecahan serta perasaan permusuhan, saling membenci yang jelas berniat jahat dan mampu menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat.

"Sehubungan dengan itu, pohon siasatan dan tindakan undang-undang secara tegas dibuat ke atas Badrul," katanya.