Skip to main
Logo Malaysiakini

Kesatuan lancar ‘kempen lencana’ bantah KTMB

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Kesatuan Kebangsaan Pemandu-pemandu Tren Semenanjung Malaysia (TDU) melancarkan “kempen lencana” bagi membantah tindakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang didakwa menghapuskan jawatan tertinggi (kanan) dalam skim perkhidmatan pemandu lokomotif.

Presiden TDU Badrul Khuzaini Hashim berkata pemandu tren diminta memakai lencana bertulis “KTMB mendiskriminasi pemandu tren” pada pakaian seragam sepanjang waktu bertugas.

Malaysiakini sudah menghubungi pegawai komunikasi strategik syarikat itu tetapi dia enggan memberikan sebarang komen.

Sementara itu, Badrul Khuzaini berkata kempen bantahan itu disambut baik oleh anggota kesatuan yang terdiri daripada pemandu tren sejak dimulakan pada 24 November lalu. 

"Semua ahli kesatuan turut serta iaitu pemandu tren dari dua syarikat. 

“Walaupun pemandu ERL (Stesen Express Rail Link) tak terlibat dengan KTMB sebab mereka syarikat lain, tetapi sebagai ahli kesatuan, mereka melaksanakan solidariti. 

“Seratus peratus ahli (TDU) menyokong," kata Badrul Khuzaini yang juga kakitangan KTMB.

Kereta api KTMB, gambar hiasan

Katanya, kesatuan telah menempah lebih 400 unit lencana untuk diedarkan.

“Jika masalah ini tidak selesai, kesatuan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih agresif berdasarkan peruntukan undang-undang yang dibenarkan kepada kesatuan sekerja,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini pada Isnin.

Dia juga berkata TDU ada menghantar surat kepada beberapa kementerian terlibat namun tidak menerima sebarang maklum balas.