Kes video J-Kom: Wahab sahkan identiti 'Mr H' pada polis
Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Abdul Wahab Abdul Kadir Jailani hari telah mengesahkan identiti "Mr H" kepada polis, menurut peguamnya Faizal Rahman.
"Mr H" adalah individu yang didakwa sebagai dalang di sebalik kes video perbualan dengan bekas ketua pengarah J-KOM Mohammad Agus Yusoff.
Faizal berkata Wahab hari ini telah memberi keterangan selama kira-kira tiga jam di Bukit Aman.
Menurutnya, tujuan utama keterangannya diambil adalah untuk mengenal pasti identiti "Mr H".
"Hari ini kita mengesahkan individu itu adalah Mr H," katanya kepada media selepas selesai pertemuan dengan polis.
Wahab bagaimanapun mengelak daripada ditemui media.
Dua minggu lalu, rakaman panggilan video antara Mohammad Agus dan Wahab tular di media sosial.
Mereka kemudian mengadakan sidang media dengan antara lain mendakwa video tersebut telah diolah dan disunting, dan mereka menjadi sasaran "Mr H", yang dikatakan memegang jawatan tinggi di dalam J-Kom.
Agus sebelum ini telah menyatakan identiti individu tersebut dan polis juga telah menyoal siasatnya.
Wahab sepatutnya memberi keterangan pada polis Ahad lalu namun tidak dapat berbuat demikian. Menurut Faizal, Wahab mengalami kemurungan dan memerlukan masa untuk berbuat demikian.
Ditanya berkenaan keadaan Wahab, Faizal berkata anak guamnya itu masih menjalani rawatan.
"Dia masih berasa takut namun keadaannya stabil," katanya lagi.
Dia berkata Wahab juga akan membuat laporan polis berhubung kes tersebut namun tidak menjelaskannya dengan lebih lanjut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai