Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun: T'ganu perlu perbanyak kempen kesedaran ujian penyakit kelamin

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

SIDANG DUN | Kerajaan Terengganu disaran memperbanyak kempen kesedaran berkaitan kepentingan ujian saringan dan pencegahan penyakit penularan seksual dalam kalangan masyarakat.

Zuraida Md Noor (PAS-Ladang) berkata beliau membangkitkan isu itu susulan laporan oleh Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang mendapati golongan lelaki muda dalam lingkungan 18 hingga 24 tahun lebih ramai dijangkiti penyakit kelamin seperti gonorea berbanding wanita.

"Saya berterima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKN Terengganu) yang sentiasa menjalankan aktiviti kesedaran berkaitan penyakit kelamin kepada pelbagai lapisan masyarakat.

"Namun, antara kekangan yang dihadapi JKN Terengganu ialah individu di bawah umur 18 tahun tidak boleh membuat saringan tanpa kebenaran penjaga atau ibu bapa," katanya.

Adun Ladang Zuraida Md Noor.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu hari ini.

Zuraida turut menyarankan kerajaan negeri bekerjasama dengan hospital yang mempunyai peralatan pemeriksaan kanser payudara untuk menjalankan ujian mamogram secara bergerak ke kawasan luar bandar atau pedalaman.

Beliau berkata ia memandangkan tidak ramai golongan wanita dari kawasan berkenaan berpeluang menjalani ujian itu kerana masalah seperti pengangkutan dan kos perjalanan.

"Kebanyakan pusat perubatan yang menawarkan perkhidmatan mamogram terletak di kawasan bandar.

“Ini menyukarkan golongan wanita di pedalaman menjalani pemeriksaan sekali gus meningkatkan risiko penyakit barah payudara dalam kalangan rakyat Terengganu," katanya.

- Bernama