Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri luar G7 sokong jeda kemanusiaan di Gaza dilanjutkan

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Menteri-menteri luar dari negara Kumpulan Tujuh (G7) menyuarakan sokongan mereka supaya jeda kemanusiaan di Gaza dilanjutkan dengan menekankan pentingnya orang awam dilindungi.

Dalam satu kenyataan bersama menteri-menteri luar G7 itu berkata segala usaha mesti dilakukan untuk memastikan bantuan kemanusiaan, termasuk makanan, air, bahan api dan bekalan perubatan sampai kepada orang awam, lapor Agensi Anadolu.

"Kami menyokong jeda itu dilanjutkan untuk membolehkan bantuan dipertingkat selain memudahkan pembebasan semua tahanan," menurut kenyataan oleh Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom serta Amerika Syarikat dan ketua dasar luar Kesatuan Eropah Josep Borrell.

Sambil menekankan mengenai pentingnya untuk melindungi orang awam dan pematuhan undang-undang antarabangsa, menteri-menteri luar G7 itu berkata: "Kami tetap teguh dalam komitmen untuk bekerjasama dengan semua rakan kongsi di rantau ini untuk mengelak konflik daripada terus meningkat."

Mereka juga menyatakan komitmen kepada penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.

Pada lewat Isnin, Qatar mengumumkan lanjutan dua hari lagi jeda kemanusiaan yang sebelum ini ditetapkan selama empat hari.

- Bernama-Anadolu