Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Semak semula kerangka penilaian MyRA, Setara

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

ULASAN | Isu penarafan antarabangsa telah lama dibahaskan dalam kalangan ahli akademik dan mutakhir ini ia kembali menjadi topik yang hangat diperkatakan.

Akademi Profesor Malaysia (APM) terpanggil untuk mengemukakan pendirian rasmi berkenaan isu ranking universiti tersebut. Setelah mengadakan perbincangan, APM berpandangan isu ranking atau penarafan oleh pelbagai institusi antarabangsa telah diterima masyarakat dunia.

Justeru untuk mengelak daripada terlibat atau diberikan penarafan adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan.

Dalam kes penarafan universiti, APM menganggap penarafan adalah suatu penanda aras umum yang digunakan untuk membandingkan kedudukan universiti tempatan dengan universiti lain di dunia.

Penyenaraian dalam penarafan universiti juga mempunyai impak yang strategik. Kedudukan pelbagai universiti di Malaysia dalam penarafan kukuh menjadi daya tarik pelajar antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pengajian tinggi.

Kehilangan kedudukan dalam penarafan bukan hanya menjadi isu dalam bidang akademik tetapi juga merangkumi ekonomi negara.

APM menyokong kenyataan yang menegaskan bahawa bukanlah peranan utama sesebuah universiti untuk membantu graduan mencari pekerjaan.

Budaya yang cemerlang

Bagaimanapun, perlu diakui bahawa usaha pengurusan universiti mencapai penarafan yang baik turut memberikan manfaat kepada graduan.

Graduan dar universiti yang mempunyai kedudukan tinggi seperti Harvard, Oxford, Cambridge, Tokyo, Singapura, dan Beijing lebih mudah mendapatkan peluang pekerjaan dan menerima tawaran tanpa persaingan yang sengit.

Walaupun penggunaan kriteria seragam digunakan oleh agensi penarafan mempunyai beberapa kebaikan, namun pada masa yang sama, ia juga satu kelemahan kerana hasil penarafan itu tidak mempamerkan keunikan, keperluan, atau objektif khusus dalam pendidikan tinggi negara tertentu, termasuk Malaysia.

Justeru, penarafan antarabangsa - walaupun memberikan gambaran mengenai kedudukan universiti - seharusnya tidak menjadi satu-satunya asas bagi dasar negara menentukan keutamaan peruntukan dan penggunaan sumber dalam negara.

Institusi pengajian tinggi juga seharusnya tidak menumpukan semua sumber untuk mengejar atau mengekalkan penarafan antarabangsa tersebut.

Penekanan perlu diberikan kepada kerangka penilaian tempatan yang memberi nilai tambah kepada perkembangan pendidikan tinggi, yang merangkumi objektif khusus pendidikan tinggi serta sumbangannya terhadap usaha membangun sumber manusia, budaya yang cemerlang, keadilan sosial dan pembinaan negara bangsa.

Untuk memastikan penilaian sebegini boleh memberikan hasil yang baik, negara memerlukan suatu dasar kebangsaan yang jelas dari segi menetapkan apa yang dianggap sebagai konsep dan pelaksanaan penyelidikan yang cemerlang serta bernilai strategik.

Kriteria ini seharusnya dijadikan asas penarafan nasional yang berfokus pada sumbangan institusi pengajian tinggi terhadap citra atau gagasan kebangsaan, dan mengurangkan kebergantungan atau keutamaan terhadap indeks petunjuk prestasi (KPI) konvensional yang lebih berorientasi pencapaian akademik semata-mata.

Cetus perbincangan mendalam

Secara spesifik, APM ingin menyarankan penilaian penarafan sedia ada diselaraskan dengan matlamat institusi pengajian tinggi, dengan memberikan penekanan pada bidang tujahan (niche) yang mencerminkan kekuatan IPT masing-masing.

Dengan ini, APM menggesa agar kerangka penilaian MyRA (Penilaian Penyelidikan Malaysia) dan Setara (Sistem Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia) disemak semula untuk memastikan konsistensinya dengan kluster universiti yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Harus diingati bahawa ukuran kesarjanaan dan kewibawaan seorang profesor sangat berbeza dengan reputasi atau pencapaian keseluruhan sebuah institusi pengajian tinggi. Keduanya tidak semestinya beriringan.

Oleh itu, sistem penilaian yang ada perlu memiliki mekanisme untuk mempertimbangkan tahap kewibawaan atau kesohoran seseorang ahli akademik yang mungkin tidak ditekankan oleh kerangka yang fokus kepada sektor atau indeks pencapaian keseluruhan institusi.

Sebagai kesimpulannya, APM berpandangan bahawa penarafan antarabangsa mempunyai peranan bagi membantu negara melihat kedudukan pendidikan tinggi di Malaysia.

Namun, dalam konteks tempatan, negara memerlukan suatu kerangka penarafan tempatan yang seimbang serta relevan dengan keperluan semasa negara serta masyarakat.

APM berharap agar isu-isu yang dibangkitkan dapat dijadikan titik tolak untuk perbincangan dasar yang lebih mendalam bagi mengenal pasti langkah-langkah penambahbaikan demi meningkatkan keberkesanan pendidikan tinggi dan memastikan kerelevannya.


Kenyataan ini dikeluarkan MAJLIS AKADEMI PROFESOR MALAYSIA. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.