Skip to main
Logo Malaysiakini

Ceramah terakhir kempen Samsuri cuma berpantun

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

PRK KEMAMAN | Tampil dalam ceramah terakhir kempen, calon Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar memilih untuk tidak menyampaikan ucapan sebaliknya hanya menghadiahkan pantun.

“Malam ini saya tidak berhasrat untuk berucap, saya cuma mahu hadiahkan pantun kepada semua khususnya pengundi Kemaman,” katanya ringkas disusuli beberapa rangkap pantun di Ceramah Grand Finale di Chukai, malam ini.

Turut menyampaikan ucapan dalam ceramah itu adalah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan dijangka diakhiri ceramah oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Berikut pantun yang disampaikan Ahmad Samsuri di depan lebih 1,500 penyokong PN:

Mana dia orang Kemaman,
cuba angkat tangan,
orangnya manis baik budiman,
sejarah hebat jadi kenangan.

Indah sungguh daerah Kemaman,
pelancong datang suka berjalan,
insya-Allah dalam PRK Kemaman,
kita pakat pangkah bulan.

Bandar Chukai semakin indah,
daerahnya hebat dan terkenal,
Terengganu lening comel dah,
di bawah PAS Perikatan Nasional.

Lemang Kijal hebat dipantau,
berbaris gerai di tepi jalan,
wahai anak-anak perantau,
ayuh pulang undi bulan.

DUN Air Putih bersuara lantang,
hebat sungguh perjuangan lepas,
biar bercurah habuan datang,
namun tetap undi PAS.

Pantai Kemasik sangat indah,
Kampung nelayan baiknya budi,
Ucapan saya sekianlah sudah,
Insya-Allah esok PAS kita undi.

Mari Kemaman makan roti payang,
tuan-puan di Kemaman saya sayang.

Samsuri kemudiannya mengiringi Mahathir yang meninggalkan program lebih awal.