Skip to main
Logo Malaysiakini

Cuaca baik, calon harap ramai keluar mengundi awal

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

PRK KEMAMAN | Para pengundi diharap dapat mengambil peluang daripada cuaca baik di Kemaman setakat ini untuk keluar menjalankan tanggungjawab mereka hari ini.

Itulah harapan yang dilontarkan kedua-dua calon yang bertanding dalam PRK Kemaman, kali ini.

Calon PN Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dia berharap peratusan keluar mengundi tinggi dan menyeru pengundi untuk keluar seawal mungkin.

“Cuaca Alhamdulillah baik (pagi ini) walaupun ramalan sebelum ini kita mungkin menghadapi risiko hujan, tapi alhamdulillah kita harap cuaca terus baik sampai ke petang.

“Kalau boleh semua dapat keluar awal jika (bimbang) hujan sebelah petang...kita harap (kadar keluar mengundi) lebih tinggi walaupun memang ia cabaran dalam mana-mana PRK.

Ahmad Samsuri MOkhtar

“Jadi kita berharap suasana di Terengganu ini mungkin agak berbeza dan saya harap kesedaran pengundi-pengundi (untuk keluar) lebih baik,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau jenterannya di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Kerteh, hari ini.

Menurut SPR, peratus keluar mengundi setakat jam sembilan pagi tadi adalah sembilan peratus.

Sementara itu lawannya daripada BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor juga berkata pihaknya berharap orang ramai dapat keluar mengundi memandangkan cuaca baik di sebelah pagi.

“Tadi saya membuat lawatan ke pusat mengundi, saya lihat perjalanan teratur, tahniah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Bagaimanapun jumlah keluar mengundi di sini tak berapa ramai kerana mungkin masih awal.

Raja Mohamed Affandi (kanan)

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menggesa pengundi-pengundi keluar menjalankan tanggungjawab mereka.

“Alhamdulillah pengundi-pengundi pun bagi respon yang baik, senyum walaupun daripada parti lawan,” katanya kepada media selepas melawat pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Kerteh.

Seramai 141,043 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat baru pada PRK Kemaman itu.

Sebanyak 49 pusat mengundi dengan 244 saluran dibuka bermula jam lapan pagi sehingga enam petang sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di pusat penjumlahan rasmi di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di Chukai.

Terdahulu Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK ini boleh mencapai sehingga 70 peratus, namun bergantung kepada keadaan cuaca yang diramalkan hujan sepanjang hari.