Skip to main
Logo Malaysiakini

'Batal lupus hutang peneroka ambil alih kebun ingkar konsep Madani'

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Kerajaan digesa menilai semula keputusan Felda untuk membatalkan penghapusan hutang ke atas peneroka yang mengambil alih kerja ladang daripada pengurusan agensi itu.

Exco Pemuda Amanah Ridhuan Esa berkata keputusan Felda itu tidak bertepatan dengan nilai Malaysia Madani.

"Kami generasi Felda membantah tindakan pengurusan Felda yang cuba membatalkan penghapusan hutang ke atas peneroka yang mengambil alih kerja ladang mereka.

"Tindakan Felda jelas bertentangan dengan konsep Malaysia Madani apabila menuntut semula hutang yang telah dihapuskan oleh kerajaan.

"Ketika masalah pengurusan ladang dan kewangan Felda yang terus menjadi isu utama di rancangan Felda serta diangkat di parlimen, Felda dilihat tergesa-gesa mengeluarkan notis ini untuk memberi tekanan kepada peneroka," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Ridhuan berkata demikian ketika mengulas tindakan Felda mengeluarkan notis tuntutan kepada peneroka yang berkenaan pada 1 Dis ini.

Katanya, notis pembatalan penghapusan hutang bertarikh 21 Nov itu, dipanjangkan kepada peneroka-peneroka yang didakwa melanggar klausa 5 perjanjian, iaitu mengambil alih pengurusan kebun tanpa kebenaran Felda.

Sebelum ini, dilaporkan Felda menetapkan syarat peneroka mengemukakan notis enam bulan dan menjelaskan keseluruhan hutang kepada Felda sebelum boleh mengambil alih pengurusan ladang.

Bagaimanapun, Ridhuan berkata perjanjian yang dimeterai antara Felda dan peneroka dilihat amat berat sebelah.

"Peneroka tidak boleh berbuat apa-apa tuntutan apabila Felda melanggar perjanjian ini.

"Kegagalan mengurus ladang dengan baik dan memberikan hasil pendapatan yang ekonomik menjadi sebab untuk peneroka dan generasi mengambil alih kerja ladang milik mereka yang diuruskan oleh Felda.

"Peneroka dan generasi seharusnya diberi dokongan dan konsultansi oleh pihak Felda apabila bersedia untuk menguruskan ladangnya sendiri dan berdikari," katanya.

Untuk rekod, pada Jun tahun kerajaan telah melaksanakan pelupusan sebahagian hutang peneroka Felda satu inisiatif yang dimulakan tahun 2021 bernilai RM8.3 bilion.

Penghapusan hutang ini berlaku apabila Felda gagal membuktikan kesahihan dan mengenal pasti nilai hutang peneroka. Perkara ini disahkan oleh Ketua Audit Negara keatas laporan kewangan Felda tahun 2018.

Felda pula diberi terbitan sukuk jaminan kerajaan bernilai RM9.9 bilion sebagai ganti kepada nilai penghapusan yang dibuat.

Felda ketika ini mempunyai lebih 120,000 peneroka membabitkan di 317 tanah rancangan di seluruh negara.