Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah Buruh tangguh keputusan kes pekerja kuota palsu tak dibayar gaji

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Mahkamah Buruh di Jabatan Tenaga Kerja di Bangi hari ini tidak dapat menyampaikan keputusan terhadap kes tuntutan gaji oleh pekerja asing kerana majikan mereka tidak dapat hadir prosiding disebabkan berada di luar negara.

Pekerja asing ini terperangkap dalam skandal kuota pengambilan buruh asing yang didedahkan oleh Malaysiakini pada bulan lepas.

Empat bekas pekerja Aecor Innovation Sdn Bhd, yang mewakili kumpulan 97 pekerja dipercayai diperdagangkan ke negara ini berkata mereka kesal dengan penangguhan penghakiman tersebut.

“Prosiding telah ditangguhkan kerana Ng Yeen Seen tidak dapat hadir hari ini tetapi kami tidak dimaklumkan bahawa ketidakhadirannya akan menghalang penghakiman.

"Kami sangat kecewa dan sekarang kami perlu memberitahu ahli keluarga kami kerana mereka juga tidak sabar untuk menerima sedikit wang," kata seorang pekerja yang tertekan menjelaskan mereka memohon cuti tahunan daripada majikan baru untuk hadir prosiding hari ini.

Tuntutan gaji pekerja berbeza-beza antara RM4,800 hingga RM7,200 setiap satu dan penghakiman hari ini mungkin boleh memberikan anugerah berkenaan.


BACA BERKAITAN:

Syarikat cengkerang, VIP 'perisai' dalang penipuan kuota pekerja asing

Urus niaga jutaan ringgit dari penipuan permohonan kuota pekerja asing


Seorang pegawai Jabatan Tenaga Kerja memberitahu Malaysiakini berdasarkan prosedur operasi standard, majikan harus diberi peluang sama rata untuk mewakili diri mereka di Mahkamah Buruh dan dibenarkan tidak hadir prosiding dengan alasan yang munasabah.

Bagaimanapun, Jabatan Tenaga Kerja hanya diberitahu hari ini bahawa majikan berada di luar negara dan tidak dapat menghadiri prosiding itu, untuk memaklumkan pekerja bahawa prosiding tersebut telah dibatalkan.

Gambar hiasan.

Pekerja berkenaan yang enggan dinamakan kini bertugas dengan syarikat perkapalan multinasional Maersk.

Mereka memberitahu Malaysiakini majikan baru mereka memahami kepentingan menghadiri prosiding Jabatan Buruh hari ini untuk menuntut gaji mereka yang belum dibayar.

Kini pekerja berkenaan perlu menyerahkan kepada budi bicara majikan baru untuk menghadiri prosiding penghakiman yang dijadualkan semula ke Januari.

Pekerja Aecor Innovation telah tiba secara berkelompok sejak Januari, direkrut ke dalam sektor perkhidmatan pembersihan yang kontroversi, yang diakui kerajaan mempunyai lebihan bekalan sebanyak 120,000 pekerja.

Gambar hiasan.

Bulan lalu, Malaysiakini mendedahkan bagaimana kontrak palsu yang dikatakan bernilai jutaan ringgit dengan syarikat yang tidak wujud, digunakan untuk mendapatkan kuota untuk mengimport lebih 1,000 pekerja.

Salah satu sindiket yang didedahkan oleh Malaysiakini mempunyai sekumpulan enam syarikat yang memperoleh kuota untuk mengambil sejumlah 1,625 pekerja asing bagi sektor perkhidmatan pada 2022.

Aecor Innovation antara enam syarikat yang sedang disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berhubung seorang individu yang ditahan atas dakwaan dia menjadi sebahagian sindiket penipuan pengambilan pekerja asing.

Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia kedua-duanya menguruskan pengambilan pekerja asing melalui proses yang tidak memuaskan, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2022, bulan lepas.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memilih untuk tidak mengulas mengenai skandal itu.

Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar (gambar, atas) berkata kementeriannya akan menjalankan siasatan penuh terhadap dakwaan pemerdagangan dan majikan tidak bertanggungjawab yang telah menyalahgunakan kuota migran.

Namun, kenyataan Sivakumar untuk menyiasat kementerian yang diterajuinya telah mendapat bantahan keras, dengan beberapa pihak berpendapat terdapat konflik kepentingan.

Mengambil kira dakwaan pegawai kerajaan terlibat dalam penipuan kuota pengambilan pekerja asing itu, pihak berkepentingan, termasuk Suhakam telah menggesa siasatan bebas yang menyerupai pasukan petugas peringkat tinggi yang hanya melibatkan pegawai atasan untuk menyiasat skandal tersebut.

[Baca berita asal]