Umno perlu bertahan, kekal politik sederhana
Umno perlu kekal di landasan politik sederhana dan mempertahankan benteng penting untuk Malaysia yang mempunyai kepelbagaian kaum dan agama, kata Timbalan Presidennya Mohamad Hasan.
Berikut adalah peringatan oleh pemimpin nombor dua Umno selepas kekalahan parti itu dalam pilihanraya kecil Kemaman di kubu Pas, 2 Dis lalu.
Mohamad yang lebih mesra dikenali sebagai Mat Hasan, turut mengakui cabaran getir yang dihadapi Umno dalam menangkis naratif kaum dan agama yang dibawa Perikatan Nasional.
"Bukan mudah untuk menghadirkan pilihan jalan politik sederhana. Ideologi pelampau kanan, retorik perkauman dan agama, semuanya sangat mudah untuk dimanfaatkan bagi meraih populariti," katanya.
Kemaman
Mohamad turut menyeru tindakan segera diambil bagi memenangi hati dan pemikiran anak muda Melayu.
Menurutnya, keputusan pilihanraya itu memberi isyarat jelas bahawa Umno masih gagal meresapi generasi muda Melayu dan semakin dijauhi sehinggakan penolakan golongan tersebut terhadap Umno dilihat semakin konsisten.
"Generasi muda masih berpotensi untuk dimenangi, cuma kaedahnya (pendekatan) mestilah sesuai dengan citra, aspirasi dan keperluan hidup mereka," tambahnya dalam kenyataan di Facebook.
Mohamad mengakui bahawa Umno, yang dahulunya berperanan sebagai tonggak utama bagi kubu BN yang kukuh, mempunyai jalan yang panjang untuk meraih semula sokongan pengundi Melayu.
"Kami menyertakan seorang pejuang negara dengan rekod perkhidmatan yang cemerlang tetapi masih kalah," katanya merujuk kepada calonnya, Jeneral (Bersara) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Walaupun mengakui ia satu tugas yang sukar, Mohamad tetap optimis dan percaya bahawa untuk mendapatkan semula kepercayaan Melayu bukanlah sesuatu yang mustahil.
Tutup cerita Kemaman
Mohamad yang juga menteri pertahanan berkata keputusan pilihan raya menunjukkan Umno mesti kekal tabah untuk terus berjuang dalam arena politik Melayu.
"(Pilihan raya) Kemaman adalah indikasi jelas bahawa mengembalikan kepercayaan orang Melayu ke pangkuan Umno adalah perjalanan jauh, (cabaran dihadapi) tidak linear dan memakan masa panjang," tambahnya.
Menurutnya, misi ini memerlukan satu "semangat, cara kerja, strategi dan kepimpinan."
Mohamad turut mencadangkan bahawa "apa yang berlaku di Kemaman, tinggal di Kemaman" dan setiap yang berlaku tidak mencerminkan aspirasi rakyat Malaysia di tempat lain.
"Ia (PN) hanya menewaskan Umno tapi tidak mematikan Umno. Ia hanya pertandingan demokratik, yang ada pemenang dan (pihak) yang kalah.
"Umno hanya tewas, sama seperti kekalahan lain yang pernah dilalui, di lain ketika, pasti ada kemenangan untuk Umno, insyaAllah," kata Mohamad sebagai membalas kenyataan pemimpin PN yang mengatakan pilihan raya ini menunjukkan momentum kini berada di pihak pembangkang.
Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berjaya mengekalkan kerusi PAS pada pilihan raya kecil Kemaman dengan majoriti besar melebihi 37,000 undi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai