Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | AS, China perlu belajar hidup bersama bagi elak perang

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

ULASAN | Dasar Pintu Terbuka yang dilancarkan pada 1978 membolehkan China berubah daripada sebuah ekonomi sosialis kepada ekonomi pasaran berorientasikan sosialis.

Pelaksanaan strategi “Go Global” dan penyertaan China ke dalam World Trade Organisation (WTO) pada 2001, serta pelancaran Belt and Road Initiative (BRI) pada 2013 telah mengintegrasikan China ke dalam ekonomi global.

Hal ini membolehkan China muncul sebagai negara perdagangan terbesar dunia pada 2013, sumber pelaburan kedua terbesar dunia pada 2016, dan antara sumber utama pembiayaan pembangunan, selain sebuah negara yang melahirkan kontraktor-kontraktor utama dunia.

Kebangkitan ekonomi ini diiringi dengan peningkatan kuasa ketenteraan dan kuasa politik China.

Perang tarif

Namun, kebangkitan China ini dilihat sebagai suatu cabaran kepada status quo adikuasa dunia Amerika Syarikat (AS) yang kemudian melaksanakan strategi pengimbangan semula (rebalancing) dan pemisahan (decoupling) untuk mengekang kebangkitan ekonomi China.

Pada era Donald Trump, antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuklah mengenakan tarif yang tinggi terhadap import China yang kemudian membawa kepada situasi perang perdagangan AS dengan China.

Secara keseluruhan, AS telah mengenakan tarif terhadap produk China bernilai AS$550 bilion sementara China telah mengenakan tarif terhadap produk AS bernilai AS$185 bilion.

Melalui “Phase One Deal” yang dicapai oleh kedua-dua negara, AS bersetuju untuk tidak mengenakan tarif tambahan dan mengurangkan tarif sedia ada sementara China berjanji untuk membeli produk AS sekurang-kurangnya bernilai AS$200 bilion dalam tempoh dua tahun.

Pada era Joe Biden, beberapa siri pengecualian tarif telah dilaksanakan sementara tarif yang dikenakan oleh Trump ke atas import China bernilai AS$250 bilion itu kekal. Pentadbiran Biden juga telah mengharamkan kesemua import dari Xinjiang, China ekoran dakwaan layanan Beijing yang buruk terhadap Muslim Uyghur.

Sekatan eksport dan larangan pelaburan

Selain daripada tarif, pentadbiran Trump juga melaksanakan sekatan eksport terhadap syarikat China melalui penguatkuasaan senarai entiti. Senarai ini melarang syarikat China daripada membeli barangan daripada syarikat AS tanpa kelulusan daripada kerajaan AS, sekaligus memutuskan akses syarikat China kepada komoditi, perisian dan teknologi AS.

Selain daripada Huawei Technologies, sebanyak 650 entiti China telah dimasukkan ke dalam senarai entiti ini setakat Ogos 2022 termasuklah lebih 150 entiti yang dimasukkan sejak pentadbiran Biden. Terkini, kerajaan AS telah melaksanakan kawalan eksport baharu yang komprehensif yang menyasarkan produk pengkomputeran termaju dan teknologi semikonduktor.

Tindakan AS ini diiringi oleh negara-negara sekutu seperti Jepun dan Belanda yang turut melaksanakan senarai entiti termasuklah sekatan ke atas ‘EUV lithography’ iaitu satu proses kritikal dalam pembuatan cip canggih.

Selain itu, pentadbiran Biden turut memperluaskan lagi larangan pelaburan AS ke dalam syarikat China dengan memperkenalkan “Outbound Investment Program”. Di bawah program ini, rakyat AS dikehendaki melaporkan kepada Jabatan Perbendaharaan tentang transaksi tertentu dan dilarang daripada melabur di dalam subsektor teknologi canggih tertentu di China, serta di Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong dan Macao.

Reshoring dan friend-shoring

Pada era Trump, terdapat fokus yang jelas untuk melaksanakan inisiatif reshoring iaitu satu proses untuk menempatkan semula aktiviti pembuatan dan pengeluaran dari luar negara ke AS.

Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh pentadbiran Trump termasuklah kadar cukai korporat yang dikurangkan dari 35 peratus kepada 21 peratus, Zon Peluang, kempen “Buy American”, geran persekutuan dan program pembangunan tenaga kerja.

Strategi ini dipertingkatkan lagi oleh pentadbiran Biden apabila CHIPS and Sciences Act digubal pada 2022 dengan peruntukan belanjawan sebanyak AS$280 bilion. Akta ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran semikonduktor di AS, meningkatkan daya saing teknologi, mewujudkan pekerjaan, menjamin rantaian bekalan dan menangani kebimbangan yang berkaitan dengan kemajuan teknologi China.

Walau bagaimanapun, strategi reshoring ini terbatas kerana pentadbiran Trump dan Biden hanya mencipta 631,000 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan sehingga Ogos 2023. Berbeza dengan Trump, Biden tidak hanya melaksanakan reshoring tetapi juga friend-shoring iaitu pemindahan rantaian bekalan ke negara-negara yang mesra AS seperti India, Kesatuan Eropah dan Jepun.

Blok pembiayaan dan perdagangan

Bagi menyaingi BRI China, Trump telah menggubal Better Utilization of Investment Leading to Development atau BUILD Act, dan menubuhkan sebuah agensi pembangunan AS baharu iaitu US International Development Finance Corporation (USIDFC).

Akta ini bertujuan untuk mempromosikan perniagaan Amerika, mengukuhkan pembiayaan pembangunan, dan menyediakan pembiayaan berjumlah AS$60 bilion untuk menyokong operasi USIDFC di negara-negara membangun.

Pada era Biden, Partnership for Global Infrastructure and Investment (PGII) telah dilancarkan oleh negara-negara G7 untuk menangani keperluan infrastruktur di negara membangun, mengukuhkan rantaian bekalan global dan mempromosikan kepentingan keselamatan negara AS.

Pentadbiran Biden menyasarkan untuk memobilisasikan AS$200 bilion untuk PGII dalam tempoh lima tahun akan datang, dan AS$600 bilion menjelang 2027 melalui sumbangan daripada negara-negara G7. Walau bagaimanapun, setakat Mei 2023, PGII hanya berbelanja sebanyak AS$34 bilion, iaitu satu jumlah yang jauh lebih rendah berbanding anggaran perbelanjaan BRI yang mencecah AS$1 trilion.

Selain itu, bagi menyaingi dominasi China ke atas blok perdagangan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP), AS bersama-sama dengan 13 negara lain telah melancarkan Indo-Pacific Economic Framework for Prosperity (IPEF) pada 2022.

Setakat ini, negara-negara anggota IPEF telah menandatangani perjanjian Teras 2 (Rantaian Bekalan), memuktamadkan rundingan Teras 3 (Ekonomi Lestari) dan Teras 4 (Ekonomi Saksama), serta sedang merundingi Teras 1 (Perdagangan).

Secara ringkas, di bawah strategi pengimbangan semula dan pemisahan, AS telah melaksanakan insiatif tarif, sekatan eksport, kawalan pelaburan, reshoring dan friend-shoring, serta pembiayaan pembangunan dan blok perdagangan untuk membantutkan pertumbuhan ekonomi China dan menyekat kebangkitan China.

Elak Perangkap Thucydides

Di dalam buku “Destined for War”, sarjana AS iaitu Graham Allison telah mempopularkan satu terma yang dinamakan “Perangkap Thucydides”. Terma ini bermaksud apabila kuasa yang semakin meningkat seperti China mengancam untuk menggantikan kuasa sedia ada seperti AS, lazimnya ia akan berakhir dengan peperangan.

Dalam konteks perang perdagangan dan teknologi AS-China pada hari ini, terdapat usaha daripada pemimpin kedua-dua negara untuk meredakan keadaan khususnya apabila Biden dan Xi mengadakan pertemuan ketika sidang kemuncak mesyuarat Asia Pacific Economic Framework (APEC) pada November 2023.

Meskipun pertemuan ini telah menyambung semula saluran komunikasi ketenteraan dan beberapa bidang lain di antara kedua-dua negara, ia tidak membawa apa-apa perubahan kepada ketegangan dalam hubungan ekonomi dan teknologi bilateral.

Bagi menguruskan ketegangan ini, kedua-dua negara perlu melaksanakan apa yang diistilahkan oleh mantan Perdana Menteri Australia Kevin Rudd sebagai “Managed Strategic Competition” iaitu strategi yang menggabungkan aspek-aspek libat urus dan pemisahan atau kerjasama dan persaingan.

Dalam kata lain, kedua-dua pihak perlu membangunkan garis-garis merah (red lines) yang dihormati bersama, melaksanakan diplomasi peringkat tinggi belakang tabir, dan mengadakan kerjasama dalam isu-isu global seperti pandemik, perubahan iklim, rantaian bekalan dan kestabilan kewangan global.

Bagi melaksanakan strategi ini, AS perlu keluar dari mentaliti perang dingin yang membahagikan dunia kepada “Us vs Them” lalu mengheret negara-negara membangun ke kancah persaingan ini. Sebaliknya, AS perlu mengiktiraf dan menghormati aspirasi China untuk kembali berperanan sebagai “Middle Kingdom” atau pusat peradaban dunia yang mendapat penghormatan yang sewajarnya dari dunia.

Justeru, AS perlu memberikan ruang kepada China untuk memainkan peranannya di peringkat global termasuklah di dalam institusi antarabangsa yang diterajui oleh AS dan sekutunya.

Selain itu, AS juga perlu mengasingkan isu-isu ekonomi dan teknologi daripada isu-isu nilai termasuklah label diktator yang dilemparkan oleh Biden kepada Xi kerana ia hanya mengeruhkan hubungan bilateral kedua-dua negara.

Pada masa yang sama, China perlu memanfaatkan ketegangan ini untuk memperkasakan usaha bagi meningkatkan kemandirian dalam bidang teknologi termaju termasuklah semikonduktor sekaligus mengurangkan ketergantungan dan keterdedahan ekonomi China terhadap tindak-tanduk AS dan sekutunya.

Tuntasnya, AS perlu berhenti merencatkan pertumbuhan China dan mengekang kebangkitan China di pentas global. Dalam konteks ketegangan yang bakal meningkat ekoran pilihan raya yang akan dilaksanakan di Taiwan dan AS pada 2024, AS perlu belajar untuk hidup bersama dan belajar bersaing secara aman dengan China bagi mengelakkan kedua-duanya tergelincir ke dalam Perangkap Thucydides yang akhirnya membawa kepada peperangan.


ZAHARUL ABDULLAH merupakan pensyarah Sains Politik di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.