Skip to main
Logo Malaysiakini

PM harap kemenangan Samsuri redakan suhu politik negara

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Perdana Menteri hari ini mengucapkan tahniah atas kemenangan Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan kerusi parlimen Kemaman untuk PN pada Sabtu lalu.

Lebih daripada itu Anwar Ibrahim berharap kemenangan berkenaan akan dapat menyumbang "kelegaan" kepada politik negara yang sering tegang dan panas.

Katanya harapan itu ditimbulkan kerana pembawaan Ahmad Samsuri yang dilihat lebih sederhana berbanding sesetengah pemimpin PAS yang “jauh lebih ekstrem”.

"Saya mengucapkan taniah kepada Datuk Seri Samsuri kerana kemenangan itu dan mudah-mudahan dia dapat bertugas yang baik.

"Dan saya juga berharap, dari segi negara, dia memberikan sekurang-kurangnya sedikit kelegaan, kerana imej (Ahmad Samsuri) yang lebih sederhana berbanding sikap pimpinan PAS yang nampak jauh lebih ekstrem.

"Mudah-mudahan dia dapat meredakan suhu politik yang terlalu panas (ketika ini)," katanya.

Anwar berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis Hari Profesion Teknikal Negara di Presint 1, Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.

Selain masih berkhidmat sebagai menteri besar, Ahmad Samsuri merupakan tokoh profesional yang dipilih ahli PAS sebagai naib presiden mereka buat penggal kedua.

Dia merupakan bekas ahli akademik yang bertugas di Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa di Universiti Putra Malaysia.

Dua lagi naib presiden PAS merupakan tokoh yang memiliki latar belakang agama iaitu Idris Ahmad dan Mohd Amar Abdullah.

Pun begitu Ahmad Samsuri dilihat merupakan antara watak paling dipercayai Abdul Hadi Awang kerana pernah dilantik sebagai setiausaha politik presiden PAS berkenaan.

Pada 2 Dis lalu Ahmad Samsuri, 53, memenangi pilihan raya kecil (PRK) Kemaman dengan mengalahkan calon BN dengan perbezaan lebih 37,000 undi.

Mengulas lanjut mengenai keputusan PRK Kemaman, Anwar berkata, data menunjukkan peratusan pengundi yang keluar untuk memilih ahli parlimen pada Sabtu lalu adalah rendah berbanding semasa PRU pada tahun lalu.

Dia juga berpendapat penjelasan mengenai situasi itu patut diberikan kepada orang ramai agar gambaran lebih jelas dan menyeluruh dapat difahami.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata semalam pemimpin gabungan itu dan Umno telah mengadakan pertemuan.

"Saya berpuas hati kerana nampaknya mereka akan mengerahkan jentera untuk ke akar umbi (untuk menjelaskan dasar-dasar kerajaan)," katanya.