Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir Pasir Mas: 5,802 mangsa berlindung di 13 PPS

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Jumlah mangsa banjir di jajahan Pasir Mas berkurang kepada 5,802 orang daripada 1,813 keluarga setakat 2 petang ini berbanding 6,009 orang daripada 1,952 yang direkodkan pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kesemua mangsa mendapat perlindungan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS).

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang (2) menempatkan mangsa paling ramai dengan 1,881 orang daripada 629 keluarga, SK Gual To'Deh (813 orang, 264 keluarga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial (720 orang, 266 keluarga).

Sebanyak 590 orang daripada 108 keluarga berada di SK Gual Tinggi, SK Sri Kiambang (345 orang, 107 keluarga), Masjid Mukim Padang Licin (320 orang, 119 keluarga), SK Gual Periok (269 orang, 79 keluarga) dan SK Lati (223 orang, 62 keluarga).

Lima lagi PPS iaitu Madrasah Tasek Bakong menempatkan 210 orang daripada 55 keluarga, SMK Gual Periok (153 orang, 41 keluarga), SK Chicha Tinggi (144 orang, 45 keluarga), SMK (A) Lati (80 orang, 21 keluarga) dan SK Kedai Tanjong (54 orang, 17 keluarga).

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 9.26 meter (m) berbanding paras normal 5m.

Dua lagi sungai melepasi paras waspada iaitu Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat dengan bacaan 2.28m berbanding paras normal 0.7m dan Sungai Galas di Limau Kasturi mencatat 56.29m berbanding paras normal 53m.

- Bernama