Tiga kapal pengangkut ditahan bersauh cara haram di perairan Johor
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan tiga kapal pengangkut kerana bersauh secara haram di perairan Johor Timur di Kota Tinggi, semalam.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata kapal pertama membawa kontena yang berdaftar di Pelabuhan Klang, Selangor itu ditahan bot ronda APMM di kedudukan 19.8 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil, pada 11.30 pagi.
Beliau berkata kapal kedua yang didaftarkan di Bridgetown, Barbados pula ditahan di kedudukan 18.1 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, pada waktu yang sama.
"Kapal ketiga yang berdaftar di Copenhagen, Denmark dan membawa kontena itu ditahan di kedudukan 21.5 batu nautika timur Tanjung Balau pada 5.30 petang.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua nakhoda kapal terbabit didapati telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia dan kes disiasat mengikut Seksyen 491B (1) (L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Najib berkata penahanan ketiga-tiga kapal itu merupakan kes ke-86 tahun ini atas kesalahan yang sama iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.
"APMM akan terus komited dalam menangani aktiviti kapal yang bersauh tanpa kebenaran khususnya di perairan Johor Timur dan akan terus mempergiat usaha untuk mengekang aktiviti ini demi kesejahteraan perairan negara," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai