Skip to main
Logo Malaysiakini

Peniaga lapor polis individu promosi agenda Israel

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Satu laporan polis telah dibuat bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat seorang individu yang didakwa mempromosikan Israel serta meminta kerajaan menjalinkan hubungan diplomatik dengan rejim Zionis itu.

Ahli perniagaan Syed Mohammad Shafiq Syed Jaafar berkata kenyataan itu melampau kerana membuat gesaan ketika mana Palestin sedang ditindas oleh Israel selain mengetahui pendirian Malaysia dalam hal itu.

"Kita menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat individu berkenaan yang secara jelas mempromosikan Israel serta galakan hubungan diplomatik dengan Israel.

"Sedangkan polisi kerajaan sejak merdeka lagi tiada hubungan diplomatik dengan Israel, malah dia menggesa supaya diwujudkan kedutaan Israel di Malaysia.

"Oleh itu saya minta pihak berkuasa menyiasat di mana dia berada, kenapa dia promosi agenda Zionis.

"Kalau masih lagi warganegara (Malaysia) kita minta Kementerian Dalam Negeri (KDN) lucutkan kerakyatannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syed Mohammad berkata dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini sambil disokong oleh beberapa NGO pro-Palestin termasuk Aman Palestin.

Semalam, tular di platform X, Facebook serta Youtube video temu bual individu itu bersama pempengaruh dari Israel Hananya Naftali.

Semakan Malaysiakini mendapati video itu kali pertama dimuat naik dalam talian di You Tube pada 17 Disember 2021 sebelum dikongsi semula di platform X Naftali semalam.

Dalam temu bual dengan pempengaruh Israel itu, individu itu yang mendakwa pernah tinggal di Johor Bahru berkata masyarakat Arab selama ini merosakkan pemikiran rakyat Malaysia terhadap Israel dan kegiatan Arab radikal sangat aktif di Malaysia.

Dalam wawancara bersama media Hungary Hetek pada 2022, Naftali berkata pernah menjadi penasihat media sosial kepada perdana menteri rejim Israel Benjamin Netanyahu.

Dalam video itu juga kelihatan bendera Israel dikibarkan di sebelah Jalur Gemilang dalam biliknya sewaktu rakaman itu.

Mengulas lanjut, Syed Mohammad berkata dia risau usaha mempromosikan rejim Zionis itu akan memberi kesan terhadap pendirian Malaysia.

Selain itu, katanya ia boleh membawa kepada kegusaran awam dan menggesa pihak berkuasa agar memberi perhatian serius.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas individu itu.