Skip to main
Logo Malaysiakini

Semak fakta: Kuasai BM bukan syarat perbaharui pasport

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution ketika tampil mempertahankan tindakan seorang pegawai imigresen, pada hari Isnin berkata rakyat Malaysia perlu menguasai bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan.

Mengulas kes seorang wanita didakwa dimarahi pegawai imigresen kerana tidak faham bahasa kebangsaan, Saifuddin berkata pegawai itu mungkin curiga dengan kewarganegaraan wanita berkenaan.

Wanita itu berkata dia berada di pejabat imigresen untuk memperbaharui pasportnya.

Saifuddin juga merujuk Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahasa Melayu hendaklah digunakan dalam "maksud rasmi" kerajaan.

Bagaimanapun, semakan mendapati ia bukan syarat untuk memperbaharui pasport atau mengekalkan kewarganegaraan seseorang.

Ia hanya syarat bagi mereka yang memohon kewarganegaraan melalui penaturalisasian atau pendaftaran, dalam keadaan tertentu.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, "mengetahui pengetahuan asas bahasa Melayu" diperlukan bagi mereka yang lahir sebelum Hari Merdeka (31 Ogos 1957) yang ingin mendaftar sebagai warganegara.

"Mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu" juga merupakan antara keperluan bagi mereka yang ingin mendapatkan kerakyatan Malaysia melalui naturalisasi.

Syarat berkaitan status ibu bapa, bukan bahasa

Bagi mereka yang boleh menjadi warganegara dengan kuat kuasa undang-undang tidak ada diletakkan syarat menguasai bahasa Melayu .

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, mereka yang lahir di negara ini antara Hari Merdeka (31 Ogos 1957) dan Hari Malaysia (16 Sept 1963) adalah warganegara mengikut kuat kuasa undang-undang tanpa mengira kewarganegaraan ibu bapa mereka.

Mereka yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia adalah warganegara mengikut kuat kuasa undang-undang jika salah seorang daripada ibu bapa mereka merupakan warganegara Malaysia atau pemastautin tetap, bergantung pada syarat tertentu.

Sebagai contoh, menurut Jabatan Pendaftaran Negara, seseorang itu diberikan kewarganegaraan jika bapanya warga Malaysia dan ibunya warga asing, tetapi hanya jika ibu bapanya berkahwin sebelum anak itu dilahirkan.

Tiada syarat lain melibatkan penguasaan bahasa Melayu untuk kewarganegaraan bagi individu kelahiran Malaysia, atau mereka yang lahir di Malaysia atau ibu bapa pemastautin tetap.

Sesiapa yang sudah menjadi warganegara juga tidak perlu membuktikan kecekapan bahasa Melayu mereka untuk mengekalkan kewarganegaraan, termasuk semasa memohon atau memperbaharui pasport mereka.

Sebab-sebab batal kerakyatan

Semakan di laman web Jabatan Imigresen juga tidak menjadikan penguasaan bahasa Melayu sebagai syarat untuk memperbaharui pasport seseorang.

Satu-satunya kelayakan yang dinyatakan ialah seseorang itu mestilah warganegara Malaysia dan ini dibuktikan dengan menunjukkan kad pengenalan atau sijil lahir.

Tidak menguasai bahasa Melayu juga bukan alasan untuk membatalkan kerakyatan.

Bagaimanapun, boleh dikatakan bahawa ia boleh digunakan untuk menyiasat sama ada kewarganegaraan seseorang itu telah diperoleh secara sah atau jika ia perlu dikekalkan.

Menurut laman web undang-undang AskLegal, kerakyatan Malaysia boleh dibatalkan jika didapati diperoleh melalui penipuan atau melalui kesilapan pentadbiran.

Empat lagi sebab pembatalan kewarganegaraan adalah:

  • individu itu melepaskan kerakyatan;

  • individu itu mengambil kerakyatan di tempat lain; atau

  • individu itu tidak setia kepada negara, melalui pelbagai cara yang dinyatakan dalam Perkara 25 Perlembagaan Persekutuan.

Antara contoh yang diperuntukkan dalam Perkara 25 Perlembagaan Persekutuan termasuk menjawat jawatan rasmi dalam kerajaan negara lain tanpa kelulusan kerajaan Malaysia atau menetap di luar negara melebihi lima tahun secara berterusan dan tidak berdaftar dengan kedutaan Malaysia di sana.

Bagaimanapun, sebelum kerakyatan boleh ditarik balik, Perkara 26A menyatakan orang itu mesti dimaklumkan dan mereka boleh memilih untuk jawatankuasa penyiasat menyiasat kes itu.

Jawatankuasa berkenaan dilantik oleh kerajaan, terdiri daripada seorang pengerusi dan dua ahli, serta keputusan muktamad kerajaan adalah berdasarkan penemuan jawatankuasa itu.

[Baca berita asal]