Skip to main
Logo Malaysiakini

JAS: Kualiti udara di Bukit Selambau terkawal

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Kualiti udara sekitar Bukit Selambau terutamanya di kawasan tiga premis yang terbakar Ahad lepas, secara keseluruhan adalah terkawal, kata Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab.

Beliau berkata hujan beberapa kali selepas kebakaran itu turut membantu membersihkan udara yang tercemar.

Bagaimanapun menurutnya kawasan kebakaran masih mempunyai kandungan pencemar agak tinggi dan memerlukan penggunaan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk memasuki kawasan itu.

“JAS telah memasang dua alat pengukur kualiti udara iaitu ‘meter cerex’ yang dapat mengesan dan mengukur sekitar 350 gas pencemar dan ‘meter grimm’ untuk mengukur habuk PM10 dan PM2.5.

"Kita turut menerbangkan dron untuk merakam keseluruhan visual kawasan bagi mengesan sekiranya terdapat pencemaran yang berasal dari kawasan terlibat atau punca-punca pencemaran lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya JAS juga mendapat kebenaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk meneruskan siasatan di sebahagian tapak yang terbakar.

“Sampel buangan termasuk buangan elektrik dan elektronik di tapak berkenaan telah dihantar ke Jabatan Kimia Negeri Kedah untuk dianalisis,” katanya.

Semalam, Sharifah Zakiah berkata tiga premis yang terbabit dalam kebakaran itu dipercayai beroperasi secara haram.

Dua premis tidak pernah mendapat sebarang kelulusan operasi daripada JAS, manakala satu premis lagi mendapat kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) pada 2020 tetapi tidak mengemukakan permohonan lesen untuk beroperasi.

Dalam kejadian Ahad lepas, tiga premis yang menempatkan barangan terpakai berupa logam tembaga dan wayar di sebuah kilang di Bukit Selambau, musnah dalam kebakaran.

Kebakaran itu menyebabkan berlaku letupan dan percikan “bunga api”, sebelum pihak bomba berjaya mengawal kebakaran pada 10.02 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

- Bernama