Skip to main
Logo Malaysiakini

Mangsa banjir Pasir Mas menurun malam ini, empat PPS ditutup

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Keadaan cuaca yang baik membolehkan air surut di beberapa kawasan di jajahan Pasir Mas seterusnya mengurangkan jumlah mangsa banjir kepada 3,260 orang daripada 989 keluarga setakat jam 8 malam ini berbanding 5,802 mangsa daripada 1,1813 keluarga petang tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), empat pusat pemindahan sementara (PPS) juga telah ditutup berbanding 13 yang beroperasi petang tadi.

Di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi menempatkan 590 mangsa daripada 108 keluarga, SK Gual To’Deh (792 mangsa daripada 258 keluarga), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok (153 mangsa daripada 41 keluarga) dan SMK Baroh Pial (664 mangsa daripada 240 keluarga).

Tiga lagi PPS iaitu SK Kedai Tanjong memberi perlindungan kepada 58 mangsa daripada 18 keluarga, SK Gual Periok (256 mangsa daripada 75) dan Madrasah Tasek Bakong (82 mangsa daripada 23 keluarga).

Sebanyak 320 mangsa daripada 119 keluarga sedang berlindung di Masjid Mukim Padang Licin manakala SK Sri Kiambang menempatkan 345 mangsa daripada 107 keluarga.

Sementara itu, menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 9.13 meter (m) berbanding paras normal 5m.

Dua lagi sungai melepasi paras waspada iaitu Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat dengan bacaan 2.27m berbanding paras normal 0.7m dan Sungai Kelantan di Kuala Krai mencatat 20.03 m berbanding paras normal 17m.

- Bernamna