Skip to main
Logo Malaysiakini

Pertubuhan Peladang harap k'jaan sambung kontrak bekal baja

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berharap kerajaan memberi kepercayaan kepada pertubuhan itu untuk membekalkan baja dan input pertanian kepada golongan pesawah negara ini bagi tempoh lima tahun lagi.

Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas Datuk Zamri Yaakob berkata kontrak sedia ada pertubuhan itu iaitu sebagai pembekal baja hampir 50 tahun, akan tamat pada 31 Dis ini.

“Sehingga kini Nafas telah menerima pesanan untuk kegunaan musim 1/2024 dan situasi ini agak sukar untuk Nafas (sekiranya kontrak tidak disambung) kerana akan berlaku situasi pembekalan luar kontrak," katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Nafas ke-50 di Bangi hari ini.

Beliau berkata Nafas mempunyai kilang pemprosesan baja sendiri di Gurun, Kedah, selain rantaian dan rangkaian yang lengkap melalui 280 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak untuk memastikan baja disalurkan terus kepada pesawah pada harga yang kompetitif berbanding swasta.

Zamri berkata isu pembekalan baja itu merupakan antara perkara yang terkandung dalam Memorandum Pertubuhan Peladang Tahun 2023 yang diserahkan kepada Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Datuk Mahfuz Omar pada majlis hari ini untuk disampaikan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Antara perkara yang terkandung dalam memorandum itu cadangan menjadikan Nafas sebagai penyedia stok penimbal sumber makanan termasuk jagung bijian, gandum, soya, bijirin, tepung, beras dan gula bagi pihak kerajaan dalam menyokong Agenda Sekuriti Makanan Negara.

Zamri berkata Nafas telah terlibat dalam menyediakan stok penimbal bagi ayam bulat dan keratan sejuk beku.

“Adalah diharapkan memorandum ini akan mendapat perhatian sewajarnya dalam membantu gerakan pertubuhan peladang iaitu Nafas secara khususnya, yang sentiasa komited dalam menyokong hasrat dan dasar kerajaan,” katanya.

Pada majlis itu, Nafas turut melancarkan produk pertanian berasaskan organik, ‘Weed Solut-Ion’ yang dibangunkan hasil perjanjian kerjasama antara syarikat subsidiari, Nafas Agri Services Sdn Bhd bersama FGV Agri Services Sdn Bhd dan Pandawa Agri Indonesia.

Produk itu dijangka dapat memberi manfaat kepada hampir 200,000 pesawah bagi pengurangan penggunaan racun hingga 50 peratus dengan kos yang lebih rendah tanpa mengurangkan keberkesanan racun tersebut.

- Bernama